Lapar mi segera, lapar perhatian
KETIKA kesempitan kewangan terutamanya masa jadi pelajar di universiti dulu, mi segera menjadi pilihan Merak Jalanan.
Harga mi segera yang jauh lebih rendah harga menjadi pilihan untuk mengalas perut. Ayat ‘cepat dimasak, sedap dimakan’ sangat mesra dengan halwa telinga, malah sering dinyanyikan ketika perut sedang bergelora.
Orang kata, jadi pelajar tak baik makan mi segera. Nanti jadi bodoh. Tapi memetik kata-kata seorang doktor perubatan, “mi segera tidak menjadikan seseorang itu bodoh. Banyak juga jasa dalam menghilangkan kelaparan bakal-bakal doktor, bakal-bakal jurutera, pakar ekonomi ketika di universiti.”
Itu kenangan Merak Jalanan masa jadi pelajar universiti dulu. Kenangan itu mahal harganya. Tetapi kenangan empat individu lebih mahal harganya. Kerana lapar mi segera, melayang RM500!
Mereka dikenakan denda oleh Mahkamah Majistret Bentong kerana masak mi segera di sebuah stesen minyak di Genting Highlands minggu lalu.
Pada Merak Jalanan, RM500 tu masih tak dapat menebus kos ‘kebenakan’ individu-individu terlibat.
Kesalahan mereka itu tanpa memikirkan bahaya yang timbul di kawasan stesen minyak berkenaan.
Sebelum menjatuhkan hukuman itu, majistret sempat bertanya,“Bagaimana awak semua boleh terfikir untuk memasak di stesen minyak? Awak tak fikir ke di bawah itu ada tangki minyak? Lepas itu muat naik dalam media sosial.”
Salah seorang tertuduh menjadikan lapar sebagai alasan. Itu bukan alasan yang cerdik. Kalau lapar sangat, belilah roti di stesen minyak tersebut.
Merak Jalanan teringat kata-kata seorang rakan, “Bila kau buat tindakan bodoh, maka kau terpaksa guna alasan bodoh”.
Merak Jalanan nak pesan kepada anak-anak muda yang suka healing ini, lain kali kalau nak berkumpul dengan kawan-kawan tu, siap-siap bawa bekal dari rumah!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!