TH guna makanan MRE ketika operasi Masyair
MAKKAH - Tabung Haji (TH) akan menggunakan sepenuhnya produk makanan sedia dimakan (MRE) yang diberikan kepada 31,600 jemaah haji Malaysia ketika operasi Masyair nanti.
Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, penyediaan makanan tersebut yang melibatkan sembilan daripada 16 sajian dan diberikan di setiap khemah jemaah mampu mengurangkan bebanan dan risiko kebakaran.
"Semasa di Masyair nanti kita akan sediakan 16 sajian. Pihak Tabung Haji telah berbincang dengan pengurusan Masyariq berkenaan menu iaitu daripada 16 sajian ini, sembilan sajian akan disediakan secara MRE.
"Manakala tujuh lagi sajian akan dimasak di dapur semasa di perkhemahan Arafah dan Mina," katanya ketika ditemui petugas media semalam.
Menurutnya, selepas pelaksanaan projek rintis lima tahun lalu, TH yakin pemberian makanan MRE itu membolehkan jemaah menikmati makanan lebih baik dan mampu menjimatkan masa penyediaan sajian.
“TH memperkenalkan MRE sebagai satu langkah penambahbaikan dan sudah tentu kita kaji MRE ini lebih memudahkan berbanding masak setempat di dapur perkhemahan di Arafah dan Mina,” katanya.
Projek rintis MRE bermula pada tahun 2018 dan 2019 dengan hanya satu menu sebelum ditambah kepada tiga menu pada tahun 2022.
Antara menu MRE yang disediakan ialah nasi emak dengan sambal ikan bilis dan kacang; nasi goreng ayam; ayam masak lemak; ayam masak merah serta daging masak kicap.
Menurutnya, cara pembahagian makanan MRE ini ketika operasi Masyair lebih mudah, di mana jemaah hanya menunggu pek makanan di dalam khemah dan kesemua proses penyediaan akan dilakukan oleh pihak Masyariq.
“Semasa di Arafah dan Mina jemaah diminta duduk tunggu dalam khemah masing-masing. Persediaan di dapur ini semua di bawah Masyariq dan bila dah sedia ia akan dibawa kepada jemaah oleh Masyariq.
“Sudah tentu setiap kali sajian akan diberikan pek MRE dan jemaah akan terima pek yang sudah kita panaskan bersama nasi yang baru dimasak. Kita akan selang seli dengan masakan di dapur,” katanya.
Menurutnya, kesemua makanan MRE yang berjumlah 236,000 pek ini juga akan memberikan keseragaman rasa kepada jemaah haji di semua maktab.
“Kalau dengan masak sendiri kita ada 12 dapur di 12 maktab, mungkin rasa akan berlainan, tetapi dengan adanya MRE ini yang menggunakan satu pembekal yang sama, rasa bagi sajian seperti masak merah akan jadi sama bagi semua maktab,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, pengurusan Masyariq telah memilih dua syarikat dari Malaysia dan Thailand untuk membekalkan produk MRE bagi musim haji tahun ini.
"Sebelum ini pengurusan Masyariq telah membuat lawatan ke beberapa kilang MRE di Malaysia pada Disember tahun lalu bersama Tabung Haji dan Kementerian Kesihatan.
"Susulan lawatan tersebut, pengurusan Masyariq membuat penilaian terhadap kilang yang dilawati dan akhirnya memilih sebuah syarikat di Malaysia dan sebuah syarikat di Thailand untuk membekalkan produk berkenaan," jelasnya.
Jelas Syed Saleh, pemilihan dua syarikat itu dibuat bagi mengelakkan kemungkinan masalah bekalan pada masa hadapan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!