Ajal pisahkan pasangan kembar
MACHANG - Ajal memisahkan pasangan kembar, Wan Muhammad Azwan Wan Muhammad Fadli dan adiknya, Wan Muhammad Asyraf apabila mereka terlibat kemalangan di Simpang Empat Kuari, Pulau Chondong di sini hari ini.
Lebih menyedihkan, Wan Muhammad Asyraf perlu menerima hakikat bahawa sambutan hari lahir yang ke-25 mereka semalam adalah kali terakhir bersama abangnya itu.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi tadi, pasangan kembar itu dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja iaitu sebuah tahfiz yang berada di kawasan Pulau Chondong.
Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, Wan Muhammad Asyraf gagal mengawal motosikal yang ditunggang bersama abangnya selepas sebuah lori didakwa keluar dalam jarak dekat dari arah kiri jalan.
Wan Muhammad Azwan terperosok ke bawah lori dan mengalami cedera parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia, manakala Wan Muhammad Asyraf hanya cedera ringan.
Sementara itu, bapa pasangan kembar terbabit, Wan Muhammad Fadhli Wan Ishak berkata, ulang tahun kelahiran kedua-dua anaknya itu adalah pada 16 Januari lalu, namun mereka menunda tarikh sambutan untuk menanti kepulangan adik-beradik yang lain.
"Saya tunda sambutan sebab tunggu adik-adik dia empat orang lagi. Jadi semua ada di rumah semalam dan saya buat majlis ringkas bersama keluarga.
"Saya tak bagi hadiah pun cuma dia sendiri tahu sejauh mana saya sayang dia dan adik-adik yang lain. Buat sambutan hari jadi pun sudah cukup bermakna pada mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Wan Muhammad Fadhli berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu kemalangan tersebut kerana mereka baru saja bertemu semalam dan anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan.
Menurutnya, Allahyarham Wan Muhammad Azwan merupakan pelajar sebuah universiti di Indonesia dan disifatkan seorang cucu yang baik kerana sanggup berulang-alik menjaga neneknya yang uzur dari Kubang Kerian ke Pulau Chondong.
Bagaimanapun katanya, semua ahli keluarga reda dengan pemergian itu dan berharap semua pihak dapat mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat.
Jenazah dikebumikan di Kampung Pulau Hilir, Kubang Kerian di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu pemandu lori yang terlibat tidak mengalami kecederaan serius manakala Wan Muhammad Asyraf cedera ringan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!