Bayi enam bulan antara 86 PATI ditahan

Penguat kuasa imigresen melakukan pemeriksaan terhadap warga asing yang ditahan dalam serbuan itu. Foto JIM Johor
Penguat kuasa imigresen melakukan pemeriksaan terhadap warga asing yang ditahan dalam serbuan itu. Foto JIM Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 86 warga asing termasuk seorang bayi perempuan berusia enam bulan dalam operasi serbuan bermula Isnin hingga Rabu.

Operasi yang disertai JIM Cawangan Batu Pahat dan dan JIM Segamat itu turut menahan dua lelaki warga tempatan.

Menurut Pemangku Pengarah JIM Johor, Mohd Faizal Shamsuddin, kesemua individu berkenaan ditahan hasil serbuan yang dilakukan terhadap 42 premis di sepanjang tempoh berkenaan.

"Tindakan Penguatkuasaan ini dilaksanakan hasil aduan dan maklumat awam berhubung kehadiran warga asing yang bekerja tanpa pas atau permit yang sah selain tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Kesemua mereka ditahan dalam pelbagai operasi yang dijalankan di sekitar faerah Johor Bahru seperti Ops Sapu, Ops Selera, Ops Pintu, Ops Mahir dan Ops Kutip di beberapa kawasan panas," katanya.

Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan berkenaan. Foto JIM Johor
Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan berkenaan. Foto JIM Johor

Tambah beliau, bagi daerah Johor Bahru, kesemua yang ditahan melibatkan 19 lelaki dan 11 wanita termasuk seorang bayi warga Indonesia dan seorang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun yang merupakan majikan mereka serta pemilik premis.

"Di Batu Pahat, seramai 14 warga Bangladesh berusia 20 hingga 45 tahun ditahan bersama dengan pemilik kilang iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Di Segamat pula, tiga wanita warga Indonesia, dua lelaki warga Pakistan berusia 22 hingga 43 tahun ditahan. Seorang lagi individu berusia 40 tahun dipercayai pembantu rumah yang melarikan diri daripada majikan asal," katanya dalam satu kenyataan.

Kesemua yang ditahan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang Pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa, peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Manakala kedua-dua warga tempatan yang ditahan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana melindungi warga asing.

Selain itu, pihak JIM Johor telah mengeluarkan sembilan notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!