'Semuanya habis, tiada apa yang tinggal'

Suzana memandang sayu kediamannya yang musnah dalam kebakaran pada Selasa.
Suzana memandang sayu kediamannya yang musnah dalam kebakaran pada Selasa.
A
A
A

TELUK INTAN - "Daripada buku sekolah, pakaian hinggalah perabot, semuanya habis, tiada apa yang tinggal untuk kami."

Demikian luah Suzana Darus, 54, apabila kediamannya di Kampung Matang Jambu, Degong dekat Langkap di sini musnah dalam kebakaran pada Selasa.

Lebih meruntun perasaan apabila kediaman didiami ibu mentuanya, Sabariah Omar, 78, yang terletak bersebelahan turut hangus terbakar.

Suzana yang bekerja sebagai tukang cuci di sekolah berkata, kejadian sekitar jam 2.45 pagi itu berlaku ketika semua 14 ahli keluarga di kedua-dua rumah terbabit sedang tidur.

Api marak dengan cepat menyebabkan dua rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Matang Jambu, Degong pada Selasa. Foto Bomba Perak
Api marak dengan cepat menyebabkan dua rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Matang Jambu, Degong pada Selasa. Foto Bomba Perak

Menurutnya, kebakaran dipercayai bermula dari bilik belakang rumahnya sebelum api marak dan menyambar bahagian rumah yang lain.

"Mujurlah ada yang sedar dan menjerit mengejutkan semua ahli keluarga supaya cepat berlari keluar.

"Waktu itu tak fikir apa dah, kami lari sehelai sepinggang, hanya nak pastikan semua anak cucu dan mak (mentua) yang bertongkat dapat keluar dengan selamat dari kebakaran," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Suzana mendiami rumah tiga bilik tinggalan arwah suaminya itu bersama seorang adik, tiga anaknya, seorang menantu dan dua cucu sementara Sabariah tinggal bersama seorang anak lelaki, menantu dan tiga cucu.

Meskipun masih terkejut dengan kejadian pertama kali itu, dia dan ahli keluarga lain bersyukur kerana tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.

Suzana dan Mohd Fikri melihat cebisan buku sekolah yang musnah dalam kebakaran pada Selasa.
Suzana dan Mohd Fikri melihat cebisan buku sekolah yang musnah dalam kebakaran pada Selasa.

"Selalu lihat di televisyen dan akhbar, tak sangka kali ini ALLAH uji berlaku pada rumah sendiri.

"Rasa sayu dan sedih masih ada kerana rumah ini rumah pusaka dan banyak kenangan, dah lebih 30 tahun tinggal di sini," katanya.

Dalam pada itu, anak Sabariah, Mohd Fikri Dol Kakar@Mohd Yusof, 37, berkata, buat sementara waktu, mereka 14 orang menumpang di rumah ibu saudara yang kosong dan terletak bersebelahan.

Katanya, selain bantuan diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta wakil rakyat, penduduk kampung juga bermurah hati menyediakan makanan dan pakaian untuk mereka sekeluarga.

"Buat masa sekarang kami perlu buat urusan dokumen diri dulu kerana semua kad pengenalan dan kad bank terbakar.

"Baitulmal juga sudah sarankan agar kami ke pejabat untuk memohon bantuan rumah.

"Besar harapan kami agar permohonan ini dapat diluluskan segera.

"Dapatlah kami jalani semula hidup seperti biasa di rumah sendiri, apatah lagi anak-anak masih bersekolah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!