Rokok, minuman keras bernilai lebih RM69,000 dirampas
KUANTAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menahan tiga lelaki warga asing dan merampas sejumlah rokok serta minuman keras dianggarkan bernilai lebih RM69,600 disyaki tidak bercukai hasil serbuan ke atas kontena yang dijadikan kedai runcit berhampiran tapak pembinaan stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini, 10 Mei lalu.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, rokok dan minuman keras itu disyaki dijual dan diedarkan kepada pembeli di kawasan sekitar termasuk dalam kalangan pekerja tapak pembinaan itu.
Menurutnya, suspek terdiri seorang warga Pakistan dan dua warga Myanmar berusia dalam lingkungan 20-an.
"Bertindak atas maklumat, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Stesen Kuantan telah melakukan serbuan ke atas premis tersebut jam 6 petang sebelum menahan tiga suspek yang berada di lokasi.
"Hasil pemeriksaan dilakukan menjumpai rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang disyaki barang tidak berkastam dianggarkan bernilai RM69,612 termasuk cukai," katanya pada sidang akhbar di di sini pada Khamis.
Mohd Asri berkata, ketiga-tiga suspek telah direman selama 15 hari untuk membantu siasatan.
Sementara itu katanya, dalam serbuan berasingan, pihaknya berjaya merampas rokok disyaki tidak bercukai bernilai lebih RM791,120 hasil serbuan ke atas sebuah premis kediaman tidak berpenghuni di Kluang, Johor pada 4 Mei lalu.
"Usaha mengesan pemilik premis kediaman berkenaan sedang giat dijalankan untuk membantu siasatan.
"Sindiket dipercayai menggunakan premis kediaman di kawasan perumahan untuk menyimpan barang tidak berkastam bagi mengelak dikesan dan mengaburi pandangan pihak berkuasa," katanya.
Jelas beliau, secara keseluruhan bagi kedua-dua kes sitaan itu melibatkan 992,600 batang rokok dan 622.61 liter minuman keras bernilai RM138,637 manakala cukai yang dielakkan dianggarkan RM722,095.
"Kes-kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1976.
"Bagi kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 individu terlibat boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 ( mana lebih tinggi) dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM 500,000 (mana lebih tinggi), atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1976 jika disabitkan kesalahan, hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali amaun duti eksais atau RM 100,000 ( mana lebih tinggi) dan tidak lebih daripada dua 20 kali amaun duti eksais atau RM 500,000 (mana lebih tinggi), atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!