Isu resit 3R: Empat warga Myanmar ditahan
GEORGE TOWN - Polis menahan empat warga Myanmar termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung isu resit yang dikeluarkan oleh sebuah premis menjual piza yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja-raja).
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kesemua suspek ditahan di sebuah pondok tidak bernombor di dusun durian, Jalan Sungai Ara, Bayan Lepas pada 16 Mei lalu.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek lelaki berusia 28, 19 dan 67 tahun manakala suspek wanita berusia 28 tahun.
"Tiga suspek ditahan reman sehingga 3 Jun manakala suspek berusia 67 tahun direman sehingga 20 Mei dan dilepaskan dengan jaminan polis.
"Kita akan mengambil keterangan lanjut beberapa lagi individu dan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh serta merangkumi semua aspek berikutan ia melibatkan isu sensitif," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini pada Khamis.
Hamzah menambah, sehingga kini, polis menerima 17 laporan berhubung kes berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil," ujarnya.
Pada 16 Mei lalu, tular di media sosial resit yang dikeluarkan oleh sebuah premis menjual piza di Kenari Avenue, Bayan Lepas dengan kenyataan menyentuh isu 3R di ruangan 'remark' oleh seorang individu yang memesan makanan berkenaan.
Individu tersebut didapati menulis menghina Islam di dalam bahasa Inggeris.
Tindakan itu mendapat pelbagai reaksi daripada warga net yang mengecam premis berkenaan berikutan menyangka ia adalah perbuatan premis menjual pizza tersebut.
Ruangan 'remark' disediakan untuk pemesan makanan menulis pesanan khas kepada premis berhubung makanan yang dibeli.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!