[VIDEO] Netizen terhibur pelajar ajuk guru mengajar loghat utara
SETIAP guru mempunyai pendekatan tersendiri untuk memastikan ilmu yang diajar 'sampai' kepada anak didik masing-masing.
Seorang guru kelas tambahan di utara tanah air ini menggunakan teknik lain dari yang lain apabila meminta pelajarnya mengambil alih tugasnya mengajar subjek Prinsip Perakaunan di dalam kelas.
Namun apa yang mencuit hati netizen, video dikongsikan guru tersebut di Twitter @omarfaayiz ialah apabila pelajar tersebut mengajuk caranya mengajar menggunakan loghat utara.
Perkongsian video yang berdurasi 39 saat itu kini meraih 200,200 tontonan dan netizen memuji pendekatan yang dilakukan oleh guru berkenaan.
“Terbaik cikgu, cara ini sebenarnya agak berkesan kerana ini membuktikan mereka memahami apa yang cikgu mengajar dan memberi peluang kepada kanak-kanak tersebut untuk mengajar di hadapan rakan-rakannya. Teruskan usaha ini cikgu,” tulis @DinieRam di Twitter.
@Salim33 pula menulis, “Apa yang dilakukan oleh cikgu ini cara terbaik kerana ini memberi peluang mereka mengajar di hadapan rakan-rakannya. Selalunya situasi ini berlaku di universiti dan bukannya sekolah. Cara ini memberi keyakinan kepada murid untuk bercakap di khalayak ramai."
Sementara itu, guru berkenaan Omar Faayiz Omar Faarok, berkata, teknik pembelajaran yang dilakukan bertujuan mewujudkan suasana santai bagi menarik minat pelajar di samping dapat menilai kefahaman mereka.
Menurutnya, dia tidak menyangka video yang dimuat naik itu tular di media sosial.
“Kaedah yang saya gunakan adalah dari pelajar ke pelajar. Ini kerana saya pun pelajar dalam jurusan perakaunan di sebuah universiti awam dan saya diminta untuk menjadi guru kelas tambahan subjek Prinsip Perakaunan di beberapa sekolah di Pulau Pinang sepanjang saya cuti semester.
“Ketika di dalam kelas itu, pelajar yang di dalam video itu seorang yang kelakar dan mempunyai potensi untuk mengajar malah apa yang dia ajar semuanya betul. Namun, cara dia ajuk saya mengajar dalam loghat utara sangat kelakar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Berkongsi lanjut, Omar yang juga penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, beliau diundang menjadi guru tambahan di sekitar Pulau Pinang sejak tiga tahun lalu dan telah menerbitkan sebuah buku subjek Prinsip Perakaunan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2017.
“Impian saya lagi sejak dari SPM adalah untuk mendapatkan sijil kelayakan profesional Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACAA) dan akan berusaha ke arah itu selepas menamatkan pengajian.
“Selain itu, saya juga ini menerbitkan buku subjek lain seperti Matematik Tambahan yang kini dalam perancangan,” katanya.
Masa ni dia ajuk aku weh. HAHAHAHAHAHA aku selalu tarik perkataan penting dia pon ajuk mana aku xsyg anak anak aku pic.twitter.com/nOW8aqLLEt
— omarfaayiz (@omarfaayiz) January 16, 2020
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!