MPI terima 488 penyertaan HKM, meningkat 21 peratus
PETALING JAYA - Malaysian Press Institute (MPI) menerima sebanyak 488 penyertaan bagi anugeran Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 7 Jun ini.
Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong berkata, jumlah tersebut meningkat 21 peratus berbanding 386 pentertaan yang diterima tahun lalu.
"Penyertaan tertinggi diterima daripada kategori Berita Video Terbaik dengan 65 penyertaan diikuti Kewartawanan Foto Terbaik (44 penyertaan) dan Laporan Berita Terbaik (37 penyertaan).
"Senarai nama pemenang akan diumumkan pada 7 Jun nanti pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2024," katanya ketika berucap pada forum terbuka MPI bersama penaja HKM di sebuah hotel, di sini pada Khamis.
Sementara itu, mengenai forum berkenaan, Soo Heong menjelaskan, acara tersebut merupakan pertama kali ditampilkan institut berkenaan sebagai selingan yang disyorkan Exco MPI menerusi sebuah perbincangan terbuka.
Beliau menjelaskan, platform sedemikian mampu memberi ruang dan peluang kepada penaja untuk menyuarakan pandangan, cadangan atau komen dalam usaha penambahbaik program tahunan MWM.
"Exco MPI berharap interaksi ini akan memberi manfaat dan kebaikan dalam tugasan masing-masing," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, MPI menerima tajaan keseluruhan berjumlah RM1.07 juta, meningkat RM141,500 berbanding tahun lepas.
Menurutnya, sebanyak RM616,500 diterima daripada 52 organisasi tidak termasuk penajaan hadiah pemenang berjumlah RM450,000 yang ditaja Petronas.
"Jumlah tersebut merangkumi penajaan daripada 38 syarikat korporat, 10 organisasi media, satu Institusi Pengajian Tinggi Awam dan tiga organisasi menyalurkan sumbangan kewangan bagi pelaksanaan MWM.
"Sekiranya ada baki, kami akan salurkan sumbangan tersebut dari segi latihan agar MPI boleh menjalankan tanggungjawabnya sebagai pusat latihan khusus bagi melengkapkan wartawan dengan kaedah baharu dalam industri berkaitan," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!