Dua rakan didenda RM7,000, mengaku curi lembu
MELAKA - Dua rakan didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, pada Khamis, selepas mengaku bersalah mencuri dua ekor lembu milik seorang peniaga kedai makan, dua minggu lalu.
Tertuduh Muhammad Zulikhwan Zolhaisam, 21, dan Abdul Rahman Ahmad, 57, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama dengan niat telah mencuri dua ekor lembu berwarna putih jenis baka brahman milik Amirul Amin Saharudin, 31, di kandang lembu Permatang Pasir Permai, di sini, kira-kira jam 5.30 petang pada 10 Mei 2024.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau keduanya sekali atau yang kemudian dikenakan penjara dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh sebagai pengajaran, manakala mereka yang tidak diwakili peguam merayu jumlah denda rendah dengan alasan tidak berkemampuan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,500 seorang atau empat bulan penjara jika gagal bayar.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!