Asia miliki pengaruh ekonomi, kapasiti harungi cabaran geopolitik - Anwar

Anwar menyampaikan ucaptama semasa Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia ke-29 (Persidangan Nikkei) pada Khamis. Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucaptama semasa Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia ke-29 (Persidangan Nikkei) pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

TOKYO - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Asia memiliki pengaruh ekonomi, kapasiti strategik dan kerjasama yang mungkin diperlukan untuk mengharungi cabaran geopolitik.

Berucap di Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-29, Anwar mengakui rantau ini menghadapi cabaran yang lebih besar daripada sebelum ini.

Beliau berkata, walau bagaimanapun, berbeza ketika keadaan tiga dekad lepas, Asia kini lengkap bersedia ‘untuk mengukuhkan layar kami dan menetapkan arah haluan kapal kami.’

"Asia kini menyumbang lebih 35 peratus kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) dunia dan telah menyumbang lebih banyak kepada pertumbuhan berbanding dengan mana-mana rantau lain sepanjang dekad lepas. Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) itu sendiri melibatkan hampir satu pertiga daripada eksport, jumlah penduduk dan KDNK dunia -- menjadikan Asia blok perdagangan terbesar di dunia.

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Asia telah menunjukkan hasil positif yang boleh dicapai menerusi kesalinghubungan, penyepaduan dan kerjasama, seperti perjanjian perdagangan serantau mega contohnya RCEP serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP),” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama.

Anwar berkata, kemajuan yang dicapai dalam Komuniti Ekonomi ASEAN (MEA) berterusan, justeru membolehkan ekonomi Asia Tenggara memperkukuh penyepaduan ekonominya, menyumbang kepada peranan rantau itu sebagai hab aktiviti ekonomi yang dinamik dan terbuka.

AEC menyasarkan ASEAN sebagai pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran, sebuah rantau yang sangat kompetitif dengan pembangunan ekonomi saksama, dan bersepadu sepenuhnya dengan ekonomi global.

Oleh itu, beliau menegaskan komitmen Malaysia untuk memperjuangkan aspirasi itu memandangkan negara bersedia untuk menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan.

Artikel Berkaitan:

"Dari segi ekonomi, tumpuan kami pertamanya adalah untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dalam kalangan negara anggota ASEAN. ASEAN perlu memanfaatkan kekukuhan ekonominya dan berpaksikan pelaburan.

"Kepelbagaian rantaian bekalan global dan aliran masuk pelaburan langsung asing baru-baru ini mesti mewujudkan faedah ketara untuk pembangunan di samping merapatkan jurang antara negara ASEAN,” kata beliau.

Anwar berkata, Malaysia akan kekal komited memupuk pertumbuhan bersama, mengukuhkan kerjasama serantau dan mengekalkan keterbukaan kepada perdagangan dan pembangunan.

Akhirnya, beliau menekankan bahawa ASEAN dan rakannya memikul tanggungjawab kolektif untuk memastikan rantau itu dinamik, stabil dan boleh sesuai, satu sentimen yang disokong sepenuhnya oleh Malaysia.

Persidangan Nikkei, dianjurkan setiap tahun oleh Nikkei Inc. sejak 1995, menghimpunkan pemimpin kerajaan dan ketua-ketua perniagaan untuk menyatakan visi mereka bagi masa depan Asia, menjadi antara persidangan global yang paling penting di Asia. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!