Budaya mengkafir sesama Islam boleh datangkan kemusnahan dahsyat - Saifuddin
PUTRAJAYA - Masyarakat perlu diberi kefahaman bahawa perbuatan mengkafirkan sesama umat Islam adalah dilarang dengan sesiapa menuduh seorang Muslim sebagai kafir sewenangnya adalah perbuatan yang salah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution turut mengingatkan orang ramai mengenai bahaya budaya kafir-mengkafir sesama Islam boleh mendatangkan pelbagai kemungkinan termasuk kemusnahan yang dahsyat.
"Perbuatan mengkafirkan orang ini membawa kemusnahan yang dahsyat dari segi agama pun tak betul, kita tidak boleh mengkafirkan orang sewenang-wenangnya, daripada segi hukum dan undang-undang pun juga begitu.
"Amalan yang kepada membawa kepercayaan iman kita sendiri sahaja yang sempurna, orang lain rosak imannya, orang lain kafir tidak boleh dibenarkan sebab ia akan membawa kepada kemungkinan-kemungkinan lain yang lebih dahsyat. Tak boleh ada perbuatan mengkafirkan sesama Muslim ini iaitu membawa dia tak campur orang, tak percaya orang itu bahaya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya pada Khamis.
Mengulas lanjut mengenai kes serangan di Balai Polis Ulu Tiram Johor Baharu, Saifuddin memaklumkan selepas berakhir tempoh tahanan reman suspek berhubung insiden tersebut, pihak Polis akan mencadangkan atau melaksanakan apakah undang-undang yang membolehkan suspek ditahan untuk dilanjutkan siasatan.
Untuk rekod, dalam kejadian pada jam 2.45 pagi 17 Mei 2024 itu, dua anggota Balai Polis Ulu Tiram, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut manakala seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, parah selepas ditetak dan ditembak suspek. - Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!