MPI sedia kerjasama perkukuh landskap media tempatan

Para penaja bergambar kenang-kenangan selepas selesai majlis Meraikan Para Penyumbang Malam Wartawan Malaysia 2024 yang diadakan pada Khamis. Gambar kecil: Yong Soo Heong
Para penaja bergambar kenang-kenangan selepas selesai majlis Meraikan Para Penyumbang Malam Wartawan Malaysia 2024 yang diadakan pada Khamis. Gambar kecil: Yong Soo Heong
A
A
A

PETALING JAYA - Malaysian Press Institute (MPI) sedia bekerjasama dengan syarikat korporat bagi meningkatkan komunikasi dua hala sekali gus menambah baik industri kewartawanan tempatan demi pembangunan negara.

Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong berkata, terdapat permintaan daripada sektor itu untuk melakukan kerjasama berkenaan agar wujud peluang publisiti dan hebahan dalam saluran media.

"Kedua-dua pihak perlu bekerjasama kerana media juga perlukan bahan daripada mereka (syarikat korporat).

"Sekiranya bahan daripada pihak korporat mahu menembusi ruang media, mereka perlu merangka satu kandungan berkesan untuk menarik perhatian.

"Justeru perbincangan ini memberi pemahaman tentang keperluan mewujudkan latihan agar mereka memahami kehendak media, mengetahui secara mendalam sesuatu industri," katanya ketika ditemui selepas forum terbuka dan Majlis Apresiasi Penyumbang Malam Wartawan Malaysia (MWM) pada Khamis.

Forum terbuka antara MPI dan penaja MWM yang berlangsung di sebuah hotel pada Khamis.
Forum terbuka antara MPI dan penaja MWM yang berlangsung di sebuah hotel pada Khamis.

Sementara itu, Timbalan Presiden MPI, Farrah Naz Karim berkata, institut itu akan bertindak sebagai pemangkin agensi media untuk memainkan peranan memartabatkan industri berkaitan susulan perubahan di peringkat global.

Menurutnya, ia termasuk mengadakan program latihan bertaraf dunia kepada pengamal media dan korporat bagi memenuhi kehendak masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Kita perlu sentiasa mempersiapkan diri dengan kemahiran yang relevan dan terkini (memenuhi keperluan industri).

"Oleh itu kerjasama ini adalah salah satu cara kita meningkatkan komunikasi dua hala antara media dan korporat yang akhirnya untuk pembangunan negara dan menerima pakai perubahan dalam landskap media terkini.

"MPI juga berharap agar mendapat sokongan berterusan daripada rakan korporat kerana media kini sudah berubah menjadi lebih mencabar," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!