Perjumpaan dengan Hamas untuk wujudkan penyelesaian secara aman - Anwar
TOKYO - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis mengulangi kenyataannya bahawa pertemuan beliau dengan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dan Khalid Meshaal di Doha, Qatar minggu lepas adalah bagi memujuk mereka untuk tampil penyelesaian secara aman terhadap konflik di Gaza.
"Saya sudah kenal mereka (pemimpin Hamas) selama beberapa dekad dan tidak ada sebab mengapa kita tidak perlu bertemu dengan mereka.
"Saya katakan kepada mereka, sila hormati keputusan negara-negara jiran anda dan cuba untuk capai keamanan, pertukaran tahanan dan terima penyelesaian dua negara.
"Adakah itu satu kesalahan? Adakah saya menggalakkan keganasan? Tidak. Saya merayu kerana saya ada kelebihan, apa kelebihan saya? Saya kenal mereka, mereka anggap saya kawan," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai pertemuannya dengan Haniyeh dan Meshaal baru-baru ini di Qatar pada sesi soal jawab semasa Forum Masa Depan Asia ke-29 Nikkei di sini pada Khamis.
Beliau berkata, situasi Gaza adalah krisis kemanusiaan pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Marilah kita melihatnya dalam konteks ini. Jangan hiraukan perbezaan dari segi ideologi atau hubungan dua hala dengan negara lain.
"Bolehkah kita dalam tempoh dan zaman ini menerima sahaja dan membutakan mata daripada melihat kekejaman luar biasa ini? Kita boleh terus berbincang mengenai apa yang berlaku pada 7 Okt, tapi jangan dipadamkan (kekejaman) tujuh dekad sejak zaman Nakba pada 1948."Sebab itu saya tegaskan bahawa kita cari resolusi aman, menyokong pendirian yang diambil oleh negara Islam jiran dan masyarakat antarabangsa, memaksa kedua-dua pihak menerima keamanan dan penyelesaian dua negara.
"Apa yang penting sekarang ialah menghentikan pembunuhan, berhenti menembak wanita dan kanak-kanak, hentikan pemusnahan hospital, sekolah, gereja, masjid," katanya.
Sejak konflik Israel-Hamas memuncak kembali pada Oktober lepas, lebih 36,000 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza, dengan hampir 25,000 daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak.
Perjumpaan dengan ketua biro politik Hamas Ismail Haniyeh dan bekas pengerusi Hamas Khalid Meshaal pada 13 Mei lepas, merupakan perjumpaan kali pertama Anwar dengan mereka sebagai perdana menteri.
Anwar pernah berjumpa dengan pemimpin Hamas itu dua kali sebelum ini, pada 2019 dan 2020.
Wisma Putra dalam satu kenyataan pada 14 November 2018 berkata Malaysia berpegang teguh kepada pendirian bahawa penyelesaian dua negara, dengan rakyat Palestin dan Israel hidup berjiran secara aman berdasarkan persempadanan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin, adalah satu-satunya penyelesaian kepada konflik Palestin-Israel. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!