Pilihan Raya Umum Britain pada 4 Julai depan

Sunak disebut sebagai 'pemimpin kurang popular' setelah lebih setahun memegang jawatan itu. Foto AFP
Sunak disebut sebagai 'pemimpin kurang popular' setelah lebih setahun memegang jawatan itu. Foto AFP
A
A
A

PERDANA Menteri Britain, Rishi Sunak pada Rabu menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum negara itu pada 4 Julai depan.

Pengumuman tergempar itu dibuat selepas populariti pemimpin berkenaan semakin merudum malah kredibiliti beliau untuk memimpin negara tersebut mula dipertikaikan banyak pihak.

Ia turut menamatkan spekulasi yang tercetus sejak beberapa bulan lalu hingga mencalarkan imej Sunak selain mendedahkan kepincangan dalaman parti pemerintah, Parti Konservatif.

“Inilah detiknya untuk rakyat negara ini memilih masa depan mereka,” kata bekas Canselor Perbendaharaan itu ketika sidang media di luar pejabat No. 10 Downing Street yang turut dibasahi hujan.

Beberapa pengkritik berpendapat keputusan untuk mengadakan pilihan raya awal itu seperti meletakkan 'pisau di tengkuk sendiri' kerana ia adalah strategi yang berisiko kerana Konservatif ketinggalan jauh di belakang Parti Buruh meskipun sudah memegang kuasa selama 14 tahun.

Ia bakal menjadi cabaran besar buat Sunak, 44, selepas dilantik menggantikan Liz Truss pada Oktober 2022 yang memegang jawatan itu dalam waktu singkat.

Menurut Sunak, keputusan mengejut itu termasuk membubarkan Parlimen telah mendapat perkenan Raja Charles III.

Difahamkan, Parlimen akan menggantung sesi semasa pada Jumaat dan disusuli pembubaran secara rasmi pada Khamis depan sebelum kempen pilihan raya bermula.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemimpin Parti Buruh, Keir Starmer yang disebut sebagai bakal Perdana Menteri baharu dan diramalkan akan menang besar menyifatkan pilihan raya tersebut bakal membuka lembaran baharu setelah 'kekacauan' selama 14 tahun yang ditimbulkan Tory.

“Sudah tiba masanya untuk perubahan. Ayuh, mula bina kembali negara ini. Undilah Buruh,” ujar Starmer. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!