Zii Jia, Antonsen berentap suku akhir Malaysia Masters

Zii Jia meneruskan rentak juara apabila mara ke suku akhir Malaysia Masters di Axiata Arena pada Khamis.
Zii Jia meneruskan rentak juara apabila mara ke suku akhir Malaysia Masters di Axiata Arena pada Khamis.
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia meneruskan rentak juara apabila mara ke suku akhir Malaysia Masters di Axiata Arena pada Khamis.

Zii Jia yang masih segar dengan kejuaraan Terbuka Thailand Super 500 mengesahkan kemaraan selepas menjinakkan pemain muda dari India, Kiran George straight set 21-13, 21-18 dalam perlawanan 44 minit di pusingan 16 terbaik.

Kemenangan itu membolehkan Zii Jia yang juga pilihan kelima menempah slot berdepan pemain Denmark, Andres Antonsen, yang menjinakkan rakan senegara, Magnus Johannesen, 21-12, 21-10 dalam masa 43 minit.

Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang juga pilihan pertama juga mara selepas dipaksa berhempas pulas sebelum dapat menewaskan wakil China, Chen Bo Yang-Liu Yi.

Aaron-Wooi Yik yang menang set pertama 21-13 diasak hebat set kedua tumbang 13-21 sebelum bangkit menang set penentuan 21-10 untuk berdepan pasangan Korea Selatan, Jin Yong-Na Sung-seung di suku akhir.

Sementara itu, pertembungan Man Wei Chong-Tee Kai Wun menentang Choong Hon Jian-Muhammad Haikal menyaksikan Wei Chong-Kai Wun menang 21-15, 24-19 dalam aksi 35 minit.

Wei Chong-Kai Wun akan berdepan pilihan ketiga, He Ji Ting-Ren Xiang Yu, yang menewaskan wakil India, 21-11, 21-9.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!