Kes pendaki sesat jarang berlaku di Top Hill Batu kawan

Laluan jalan tar disediakan untuk sampai ke puncak Top Hill Batu Kawan.
Laluan jalan tar disediakan untuk sampai ke puncak Top Hill Batu Kawan.
A
A
A

BATU KAWAN - Kes pendaki sesat atau hilang ketika beriadah di kawasan Top Hill Batu Kawan di sini dikatakan jarang berlaku meskipun terdapat beberapa laluan digunakan untuk sampai ke puncak bukit terbabit.

Malah menurut beberapa penduduk kampung berhampiran, sekiranya ada kes pendaki sesat atau hilang, mereka akan ditemui dalam masa kurang 24 jam sekiranya mempunyai alat komunikasi atau telefon bimbit untuk berhubung dengan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Penduduk, K Muneey, 52, berkata, tempat rekreasi itu menjadi tumpuan orang ramai terutamanya pada hujung minggu bagi beriadah dan menikmati pemandangan indah dari puncak bukit berkenaan.

Pemandangan indah yang boleh dinikmati sebelum mendaki Top Hill Batu Kawan.
Pemandangan indah yang boleh dinikmati sebelum mendaki Top Hill Batu Kawan.

Menurutnya, trek mendaki yang tidak terlalu mencabar membolehkan orang ramai hanya mengambil masa 20 hingga 30 minit untuk sampai ke puncak.

"Memang ada beberapa trek disediakan yang boleh digunakan pendaki sama ada jalan tar atau laluan belukar dan sekiranya mereka (pendaki) ikut laluan yang disediakan agak mustahil juga untuk sesat.

"Sebelum ini ada seorang pendaki dilaporkan hilang tetapi berjaya dijumai beberapa jam kemudian. Kes yang berlaku pada Rabu adalah kali pertama terjadi selepas dia dilaporkan hilang selama empat hari," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini pada Khamis.

Seorang lagi penduduk, S Sathia berkata, kawasan bukit berkenaan mempunyai akses jaringan telefon yang baik dan sekiranya tersesat mereka boleh menghubungi pasukan keselamatan dan SAR.

Artikel Berkaitan:

"Sebolehnya kalau nak datang beriadah atau mendaki di sini biarlah dalam kumpulan, bukan tak boleh mendaki seorang diri cuma kalau terjadi sesuatu yang tidak diingini seperti tercedera, ada juga rakan yang boleh bantu.

"Paling penting kalau dah masuk ke dalam hutan ni, kita perlu jaga tingkah laku selain perlu juga jaga kelestarian alam kerana kena ingat yang kita berkongsi kawasan ini dengan makhluk lain," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menyediakan laluan mendaki selain jalan tar di kawasan rekreasi berkenaan.

Katanya, kawasan mendaki itu mula menjadi tumpuan ramai sejak tahun 2000 dan beliau berharap mereka yang beriadah di kawasan itu dapat menjaga keselamatan dengan baik.

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.

"Saya pernah juga mendaki di situ sebelum ini. Apa yang saya ingat sebelum ini ada kes pendaki yang naik ikut laluan lain dan sesat turun di laluan lain," katanya.

Pada Rabu Sinar Harian melaporkan seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti mendaki dan berjoging secara sendirian di Bukit Hill Top Batu Kawan di sini sejak lima hari lalu ditemui selamat namun dalam keadaan lemah pada Rabu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, Muhammad Azfar Ismail, 28 ditemui oleh orang awam berhampiran jeti nelayan di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawan kira-kira jam 2.36 petang, pada Rabu.

Difahamkan lelaki berkenaan keluar dari rumahnya kira-kira 5 petang hari sama.

Kehilangan Muhammad Azfar dari Taman Mutiara, di sini dilaporkan oleh abangnya pada 11.59 malam Sabtu.

Berikutan itu, operasi SAR telah dilakukan oleh pasukan bomba dan operasi mencari turut melibatkan Pasukan Khas Unit STORM & MUST serta agensi luar dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM).

Difahamkan, kawasan pencarian dilakukan di laluan pendakian, kawasan puncak bukit dan juga di pesisir pantai.

Unit Pengesan K9 JBPM dan Unit Dron PDRM juga digunakan bagi kerja-kerja pencarian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!