Malaysia manfaatkan ASEAN tangani isu serantau - Anwar
TOKYO - Malaysia, yang akan menjadi Pengerusi ASEAN 2025 akan memanfaatkan platform pelbagai hala itu untuk menangani isu serantau, termasuk pertikaian wilayah di Laut China Selatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.
Beliau berkata, forum seperti ASEAN sesuai untuk menangani isu berkaitan rantau ini.
"Apabila saya mengambil alih tugas sebagai Pengerusi ASEAN (pada 2025), saya akan menyeru negara ASEAN supaya mengambil pendirian bersama, supaya kita dapat berinteraksi dengan negara jiran termasuk China untuk mencari penyelesaian secara baik terhadap perbezaan," kata beliau semasa sesi soal jawab pada Forum Masa Depan Asia ke-29 Nikkei di sini.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa Malaysia tetap teguh dengan pendirian untuk tidak memihak dalam persaingan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, sambil menekankan fakta bahawa Putrajaya tidak akan menjadi sebahagian daripada sebarang pemikiran "Perang Dingin" dan bersikap berkecuali dalam hal ini.
"Tiada siapa, tiada negara yang patut menentukan (apa yang dilakukan negara lain) dan kami memutuskan apa yang terbaik untuk Malaysia," kata beliau ketika ditanya mengenai persaingan yang semakin meningkat antara AS dan China.
Anwar berkata, Washington telah menjadi sekutu tradisional Malaysia sejak negara merdeka pada 1957."Secara kumulatif, AS masih rakan dagangan dan pelabur terbesar Malaysia, dan negara itu sangat agresif dalam mempromosikan pelaburan. Oleh itu, semua pemain besar di AS dialu-alukan untuk melabur di Malaysia," katanya.
Bagaimanapun, pada masa sama, Malaysia mengiktiraf kekuatan ekonomi dan ketenteraan Beijing yang semakin meningkat.
"Saya tidak berkongsi dasar 'fobia terhadap China' ini. Walaupun saya mengekalkan hubungan sangat baik dengan AS, Jepun dan Korea Selatan, adalah lebih baik rantau ini terus terlibat dengan China," kata Anwar.
Beliau berkata menjadi harapan Malaysia supaya China dan AS menyelesaikan perselisihan kedua-dua negara secara baik.
"Bagi kami (Malaysia), kami akan terus melibatkan diri dan menganggap AS sebagai sekutu penting, pada masa sama meningkatkan kerjasama dengan China kerana negara itu jiran penting kami - terlalu dekat, teramat penting dan sangat strategik untuk diabaikan," kata beliau.Anwar kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jepun.
Mengiringi beliau ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!