Warisan terlalu yakin, ingin dominasi politik Sabah
SHAH ALAM - Keputusan mengejut Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis membuktikan Parti Warisan Sabah (Warisan) menghidap 'sindrom' terlalu yakin dengan kemampuan sendiri selain ingin mendominasi politik di negeri itu.
Warisan turut dilihat memandang rendah terhadap isu Pas Sementara Sabah (PSS) yang menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat termasuk pribumi bukan Islam.
Menerusi tinjauan di lapangan selama sembilan hari di Kimanis, penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, tindakan Warisan seakan meminggirkan rakan parti lain yang sebenarnya boleh membantu berkempen.
Menurutnya, Warisan lebih menonjolkan presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berbanding Barisan Nasional (BN) yang melakukan gerak kerja secara tersusun dengan melibatkan rakan komponen lain.
"Calon Warisan ini dilihat inklusif dengan slogan kenegerian walaupun pada masa sama parti komponen PH juga adalah dari Semenanjung.
"Warisan sepatutnya memberi ruang kepada pemimpin seperti bekas Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan bukan Shafie Afdal semata-mata.
"Walaupun Datuk Seri Anifah Aman sudah keluar UMNO tetapi pemimpin UMNO tetap menghormati beliau dan ditunjukkan dalam kempen BN," katanya.
Kamarul berkata, penduduk di Sabah mempertikaikan hasrat kerajaan untuk melaksanakan PSS hanya di Sabah tetapi tidak di negeri lain termasuk di Semenanjung.
Menurutnya, Warisan sebagai kerajaan yang memerintah sepatutnya membantah dan membatalkan PSS.
Keputusan PRK Kimanis yang diumumkan semalam menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin menang dengan majoriti 2,029 undi apabila memperoleh 12,706 undi sementara Karim menerima 10,677 undi.
PRK itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Anifah Aman di Kimanis pada pilihan raya umum 2018 selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mematuhi prosedur pilihan raya yang sepatutnya.
Pada pilihan raya umum lepas, Anifah yang mewakili BN menang tipis dengan 156 undi majoriti selepas meraih 11,942 undi, sementara Karim yang turut bertanding ketika itu meraih 11,786 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!