Tiga bekas pekerja mengaku tipu nota kredit babit RM1.2 juta

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan tiga bekas pekerja menipu sebuah syarikat dengan meluluskan nota kredit berjumlah RM1.2 juta sedangkan tidak layak, mengundang padah apabila mereka dihukum penjara sehari dan denda antara RM1,000 dan RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis.

Bekas pengurus produk kanan, Lim Seng Khai, 45; bekas pengurus besar, Hoo Hai Seoang @ Lawrence Hoo, 45 dan bekas pengurus produk, Chang Siau Ying, 45, dikenakan hukuman denda dan penjara bermula Khamis, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim, Datuk Anita Harun.

Mengikut kertas pendakwaan, Seng Khai berdepan 84 pertuduhan, Hai Seoang @ Lawrence Hoo (enam pertuduhan) dan Siau Yin (dua pertuduhan) didakwa menipu syarikat Build Technology Supply Sdn Bhd dengan cara meluluskan nota kredit kepada syarikat Buildtron Technology Sdn Bhd, masing-masing berjumlah RM1,182,276.15, RM9,643.50 dan RM2,650, sedangkan Buildtron Technology tidak layak, antara Februari 2010 hingga Mei 2012.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seng Khai yang berdepan 84 kes, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan pertama hingga ke-10, dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak tetapi sekiranya gagal membayar denda, lelaki ini boleh dipenjara selama tiga bulan bagi setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan ke-11 hingga ke-84, mahkamah memutuskan untuk menggunapakai 'Take Into Consideration' (TIC) di bawah Seksyen 171A(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Hai Seoang @ Lawrence Hoo juga didenda RM10,000 dan sehari penjara bagi pertuduhan pertama, dan sekiranya gagal bayar denda, lelaki itu juga akan dijel tiga bulan manakala baki lima pertuduhan lain, mengguna pakai TIC.

Artikel Berkaitan:

Sementara Siau Yin didenda RM1,000 dan sehari penjara bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman jel berjalan serentak namun sekiranya gagal, wanita ini boleh dipenjara selama empat minggu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aznika Mohd Anas manakala semua tertuduh diwakili peguam, J Kuldeep Kumar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!