Veteran UMNO cadang kerajaan gazet UiTM khusus orang Melayu, bumiputera
SHAH ALAM - Veteran UMNO mencadangkan kerajaan mengazetkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai sebuah institusi pengajian tinggi khusus untuk orang Melayu dan bumiputera.
Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, ia supaya dapat mengelakkan sebarang salah tafsiran dan buruk sangka rakyat Malaysia terhadap institusi berkenaan.
“Kalau perlu ia hendaklah didaftarkan sebagai harta intelek orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas penulisan oleh Andrew Sia yang menyifatkan UiTM sebagai institusi pengajian tinggi Apartheid yang membuktikan kebodohan dan kejahilan penulis tentang sejarah pendidikan di negara ini.
Tambah Mustapha, Veteran UMNO menyokong desakan daripada Pemuda UMNO supaya Andrew Sia tampil membuat permohonan maaf.
Ujarnya, ia merupakan satu tindakan yang terbaik selain artikel tersebut ditarik semula.
“Artikel itu lebih berunsur hasutan dan dikategorikan menyentuh (isu) 3R (agama, kaum dan raja-raja),” jelasnya.
Selain itu, Mustapha turut menjelaskan bahawa UiTM berjaya melahirkan ratusan graduan dalam pelbagai bidang termasuk perkhidmatan awam, swasta, ahli perlembagaan, ahli politik dan profesional yang diiktiraf dunia.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!