Hubungan kukuh Malaysia, China sangat istimewa - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

HONG KONG - [DIKEMAS KINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan hubungan kukuh dua hala Malaysia dan China yang terjalin sejak 50 tahun lepas adalah sangat istimewa.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ini dibuktikan melalui aspek kerajaan dengan kerajaan (G2G), perniagaan ke perniagaan (B2B) dan antara rakyat (P2P) yang kukuh sejak dahulu lagi termasuk langkah membenarkan kemasukan tanpa visa selama 30 hari kepada pelancong China ke Malaysia dan 15 hari untuk pelancong dari Malaysia ke China.

Ahmad Zahid kini dalam lawatan rasmi pertamanya ke China selepas memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022 dan lawatan itu atas jemputan Naib Perdana Menteri China, Ding Xuexiang.

"Hubungan saya dan pemimpin-pemimpin mereka adalah cukup berat (erat) dan saya telah berada di China sejak tahun 1990-an sebagai ahli korporat ketika itu apatah lagi ketika saya berada di dalam kerajaan,” katanya kepada media Malaysia di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid berkata, lawatan beliau ke China itu juga bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden China, Xi Jinping serta Premier China Li Qiang.

Mengulas mengenai lawatannya, beliau berkata, terdapat beberapa perkara akan dibincangkan meliputi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri halal serta perdagangan.

"Di Shanghai nanti, saya akan saksikan beberapa perjanjian (berkaitan TVET) akan ditandatangani, selain di Beijing, secara rasminya saya akan hadir majlis ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik (antara Malaysia dan China),” katanya.

Malaysia dan China telah menjalinkan hubungan dua hala secara rasmi pada 31 Mei 1974. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!