Jakim perlu lebih agresif terap nilai Qurani dalam kehidupan masyarakat
KUANTAN - Institusi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu memainkan peranan lebih agresif dalam menerapkan nilai-nilai Qurani dalam kehidupan bermasyarakat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tiada jalan lebih baik membangunkan negara ini melainkan membiasakan diri memahami al-Quran agar mudah untuk diterjemahkan dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, semua arahan, larangan dan penyataan di dalam al-Quran mengandungi seribu satu nilai untuk dipelajari.
"Kita melihat sendiri konflik di Palestin yang berlaku sejak empat dekad lalu, generasi silih berganti namun seolah tidak ada jalan perdamaian sepanjang puluhan tahun tersebut.
"Mereka menjadi mangsa sifat iri dan diskriminasi yang diwarisi zaman-berzaman sehingga mencetuskan kezaliman yang amat dahsyat.
"Dalam hal ini, saya tekankan kerajaan menentang sebarang bentuk penindasan, penghapusan kaum dan pembersihan etnik kerana semua insan layak untuk hidup dan mendapat hak kebajikan sama rata," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445H/2024 yang berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
MTHQK 2024 yang bermula pada Khamis melibatkan penyertaan 110 peserta dari seluruh negara terdiri lapan peserta iaitu dua peserta dalam kategori tilawah al-Quran manakala enam peserta dalam kategori hafazan bagi setiap negeri.
Fadillah berkata, al-Quran jelas telah mengingatkan tentang perpaduan dan menjauhi perkara-perkara yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
"Apabila berlaku perbezaan pandangan maka rujuklah sumber yang sama (al-Quran dan hadis) kerana itulah petua perpaduan yang dititipkan dalam kitab suci itu.
"Perpaduan adalah kekuatan justeru kita perlu belajar dari sejarqh negara lain tentang kesan kesatuan.
"Perpaduan akan memastikan mobilisasi sosial yang kukuh dan stabil termasuk ekonomi dan pembangunan," katanya.
Sementara itu katanya, MTHQK 2024 memberi inspirasi dalam skala besar kepada umat Islam khususnya untuk meningkatkan mutu bacaan yang baik.
"Bagi saya, majlis seumpama ini bukan sekadar mengalunkan bacaan dan menghafaz al-Quran tetapi lebih jauh daripada itu,
"Justeru itu, serajaan sentiasa berusaha meningkatkan penghayatan dan membudayakan kandungan al-Quran di peringkat individu, keluarga, masyarakat dan organisasi di negara ini," katanya.
Beliau berkata, penting pengukuhan nilai tanpa membezakan kedudukan, pangkat, latar belakang sosio- ekonomi dan sebagainya kerana nilai yang paling agung adalah nilai yang diajar dalam al-Quran.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!