Merisik di kedai makan, netizen puji sempoi tapi bermakna
SHAH ALAM - Seorang gadis tidak menyangka apabila video yang dimuat naik di Tiktok memaparkan dirinya dirisik keluarga bakal tunang di kedai makan tular sehingga mendapat perhatian warganet.
Rata-rata pengguna platform media sosial memuji tindakan kedua-dua belah keluarga itu yang tidak keberatan untuk mengadakan majlis merisik serba ringkas dan sempoi, namun penuh bermakna.
Peniaga, Nur Diana Atikah Zahrain, 23, berkata, video berkenaan sudah lama tersimpan sejak Februari lepas kerana mahu merahsiakannya terlebih dahulu sebelum melangsungkan majlis pertunangan pada Sabtu ini.
Menurut gadis tersebut, pada mulanya dia mahu mengadakan majlis yang lebih teratur, tetapi berlaku kekangan masa kerana bapanya perlu menguruskan kedai makan setiap hari.
“Jadi, ayah yang cadangkan idea supaya kedua-dua belah keluarga bertemu dan makan malam bersama di kedai makan kami di tepi jalan ini, saya okay sahaja.
“Apabila video ini tular, saya gembira dan teruja sangat sebab ramai yang suka tengok majlis sederhana kami.
“Keluarga bakal tunang, Muhammad Haziq Kamarulzaman, 23, datang dari Seremban, Negeri Sembilan ke Sungai Buloh untuk berkenalan dan menyarung cincin merisik,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Video yang memperoleh 17 ribu tanda suka dan 227 ribu tontonan itu difahamkan dimuat naik sebagai memperingati momen terindah sebelum bergelar tunang dan isteri tidak lama lagi.
Mengintai di ruangan komen, pengguna Tiktok, Eemyeera Azam berkata, perkara yang mudah tidak perlu disusahkan hanya kerana adat dan turut mendoakan agar segala urusan dipermudahkan.
“Sempoi sambil kenal sambil makan dan minum, tahu-tahu ada orang sarungkan cincin... Santai tak perlu buat majlis besar sebagai tanda dimiliki... Kan senang,” ujar Pa’adinhana.
“Bestnya, sempoi saja. Santai janji bahagia. Bahagia kita yang pilih dan cipta sendiri,” ulas Cik Sue AR pula.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!