Pacak khemah tengah jalan tanda protes
MAKASSAR - Akibat tidak berpuas hati kerana jalan rosak yang tidak dibaiki sejak berpuluh-puluh tahun oleh pihak berwajib, sekumpulan penduduk di Kampung Lanopi tekad memacak sebuah khemah di tengah jalan.
Ia sebagai tanda protes dan bantahan kepada kerajaan setempat yang disifatkan mereka sebagai tidak bertanggungjawab serta mengabaikan kebajikan rakyat.
Tindakan tersebut telah menyebabkan berlakunya kesesakan yang teruk selepas ia ‘mengganggu’ ratusan kenderaan yang menggunakan jalan berkenaan.
Mereka terperangkap selama berjam-jam hingga menimbulkan kekecohan antara penduduk dan pengguna kenderaan.
Bagaimanapun, keadaan kembali tenang selepas polis dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) campur tangan.
Sebelum ini situasi sama dilaporkan berlaku di Desa Martajasah, Madura apabila penduduk kampung berkenaan menanam pokok pisang di tengah jalan yang rosak.
Ia juga sebagai tanda protes penduduk yang mendakwa pihak berwajib tidak mengambil sebarang inisiatif untuk membaikinya, meskipun ia menjadi punca kemalangan pengguna laluan tersebut. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!