Keluarga Maradona halang lelongan Bola Emas

Trofi Bola Emas yang dimenangi Maradona.
Trofi Bola Emas yang dimenangi Maradona.
A
A
A

WARIS Diego Maradona telah mengambil tindakan undang-undang di Perancis untuk menyekat penjualan kontroversi trofi 'Bola Emas' legenda bola sepak Argentina itu dari Piala Dunia Mexico 1986.

Trofi yang diberikan kepada pemain terbaik kejohanan itu telah hilang selama beberapa dekad sebelum ditemui oleh peniaga barangan antik di ibu negara Perancis itu.

Ia akan dijual oleh rumah lelong Aguttes di Neuilly-sur-Seine, berhampiran Paris pada 6 Jun.

Peguam untuk keluarga Maradona, berhujah bahawa Bola Emas tersebut yang dijangka bernilai jutaan ringgit adalah hak milik lima warisnya.

Pada 2022, jersi Argentina Maradona dari kejohanan 1986 dijual hampir AS$9.3 juta (RM43.9 juta), manakala bola "Tangan Tuhan" dari suku akhir menentang England dijual pada harga AS$2.4 (RM11.26 juta) juta pada tahun itu.

Menurut keluarga Maradona, trofi yang diberikan kepada bapa mereka pada November 1986 di Kabaret Lido di Paris, telah dicuri semasa rompakan bank tiga tahun kemudian di Naples.

Keluarga pemain itu mendakwa mereka baru mengetahui beberapa minggu lalu bahawa ia akan dilelong dan segera mengambil tindakan undang-undang untuk cuba menuntut semula.

“Keluarga berhasrat untuk mendapatkan bola ini, rakyat Argentina mahu mendapatkan bola ini,” peguam Lola Chunet memberitahu mahkamah di Nanterre, di luar Paris.

Artikel Berkaitan:

Peguam Arthur Gaulier, yang mewakili Aguttes, berhujah: "Percubaan 35 tahun selepas dakwaan kecurian, untuk menuntut harta tanpa pernah memfailkan aduan, adalah pendekatan oportunistik yang tidak dapat diterima oleh keadilan,"

Pada hari Khamis, peguam untuk rumah lelong dan penjual trofi mendakwa bahawa keluarga Maradona tidak memberikan bukti aduan yang difailkan pada masa itu.

Pengarah rumah lelong, Maximilien Aguttes berkata, salah satu cerita yang tersebar mengenai anugerah itu ialah Maradona meninggalkannya di Lido pada petang ia dianugerahkan.

Peniaga antik yang memperoleh trofi itu berkata, dia membelinya pada lelongan 2016 dalam lot perkakasan yang sama menghimpunkan ratusan trofi, kebanyakannya tidak bernilai.

Mahkamah akan memutuskan pada 30 Mei sama ada penjualan itu boleh dilakukan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!