Kemenangan BN bukti Muafakat Nasional semakin kuat

Gambar kiri: Wan Mat, gambar kanan: Nik Muhammad Zawawi
Gambar kiri: Wan Mat, gambar kanan: Nik Muhammad Zawawi
A
A
A

SHAH ALAM - Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) mengalahkan calon dari Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis semalam tidak boleh dipandang ringan.

Majoriti yang diperoleh Datuk Mohamad Alamin, 47, menewaskan Datuk Karim Bujang dengan majoriti 2,029 undi adalah besar berbanding majoriti yang diperoleh oleh calon BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Datuk Seri Anifah Aman iaitu 156 undi atau pertambahan 1,873 undi.

Dalam kaji selidik yang dijalankan oleh Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), perincian undian yang diperoleh calon BN mengikut Daerah Mengundi (DM) menunjukkan undian calon BN bertambah di semua DM kecuali di tiga DM.

Ketua Pegawai Eksekutif TSIS, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, DM yang meningkat adalah di 16 lokasi dengan Batu Enam mencatatkan pertambahan tertinggi iaitu 227 undi diikuti Simpangan sebanyak 152 undi dan Sinuka (92 undi).

"Tiga DM yang berkurangan untuk calon BN adalah Binsulok sebanyak 112 undi, DM Pimping lima undi dan diikuti DM Brunei dengan dua undi.

"Bagi perincian undi calon Warisan, undi berkurangan diterima di semua 14 DM dengan DM Batu Enam mencatatkan undi berkurangan tertinggi iaitu 207 undi diikuti Simpangan dengan 169 undi dan Kabang dengan 130 undi," katanya.

Sementara itu, berlaku pertambahan undi di lima DM bagi calon Warisan iaitu di Binsulok dengan 68 undi, Kimanis Mandahan 10 undi dan Dindong juga 10 undi.

Lebih signifikan, pertambahan undian yang diperoleh calon BN dan pengurangan undian calon Warisan adalah merentasi kaum tanpa mengira DM itu adalah majoriti bumiputera Islam atau bukan bumiputera Islam.

Artikel Berkaitan:

Menurut Wan Mat, rumusan pada corak undian PRK Kimanis ini mendapati UMNO dan BN Sabah belum jatuh nazak sebaliknya semakin hari semakin pulih dan kuat.

"Di mata rakyat Sabah, ketokohan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah masih jauh dari mencapai tahap 'big man'. Malah di Kimanis sendiri, tokoh yang paling menonjol adalah bekas ahli Parlimennya, Datuk Seri Anifah Aman.

"Kedudukan Warisan sebagai parti pemerintah di Sabah juga tidak memberi banyak kelebihan kepada Datuk Karim kerana majoriti pengundi tidak terpengaruh dengan pemberian wang, sumbangan, janji pembangunan, isu ekonomi dan negeri.

"Selain pengaruh peribadi Datuk Seri Anifah Aman, kehadiran pemimpin-pemimpin MCA, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanahairku (STAR) juga Pas sangat membantu calon BN mendapatkan undi daripada pengundi," katanya.

Calon BN, Datuk Mohamad Alamin ketika mengundi di Sekolah Kebangsaan Our Lady of Fatima (M) Kelatuan kelmarin. - Foto: BERNAMA
Calon BN, Datuk Mohamad Alamin ketika mengundi di Sekolah Kebangsaan Our Lady of Fatima (M) Kelatuan kelmarin. - Foto: BERNAMA

Wat Mat berkata, keputusan PRK Kimanis menjadi satu petanda yang amat jelas bahawa PH dan Warisan menghadapi masalah yang amat besar untuk mengekalkan sokongan yang diperolehinya dalam PRU14.

Berdasarkan corak undian yang ada, momentum gelombang sokongan kepada Muafakat Nasional yang berlaku di Semenanjung Malaysia telah menular ke Sabah dan Sarawak.

"Keputusan PRK Kimanis semalam telah menjadi satu lonjakan besar dalam keberdayaan Muafakat Nasional untuk menguasai politik Malaysia.

"Situasi ini sudah pasti akan menarik lebih banyak parti pembangkang tempatan di Sabah dan Sarawak selain di semenanjung untuk bersama-sama UMNO dan Pas memperkuatkan lagi Muafakat Nasional," katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kemenangan calon BN pada PRK Kimanis semalam membuktikan gelombang Muafakat Nasional kini semakin diterima rakyat termasuk Sabah dan Sarawak.

Nik Muhammad Zawawi berkata, penerimaan Muafakat Nasional di Kimanis menunjukkan secara jelas kegagalan Pakatan Harapan (PH) untuk membawa negara ke arah yang lebih baik seperti diharapkan rakyat menerusi perubahan tampuk pemerintahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) mengucapkan tahniah kepada calon BN atas kemenangan di PRK Kimanis dengan majoriti melebihi 2,000, sekali gus membuktikan gelombang Muafakat Nasional bukan hanya sahaja diterima oleh rakyat di Semenanjung Malaysia bahkan kini merentasi Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kata beliau, Muafakat Nasional kini menjadi isyarat positif kepada kerjasama Pas-UMNO.

“Ini membuktikan rakyat matang dalam menapis berita-berita yang cuba dimainkan secara kotor oleh PH seperti dakwaan Muafakat Nasional adalah bersifat rasis dan ekstrem,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta Datuk Mohamad agar menjalankan tanggungjawab dengan penuh komited demi kebaikan untuk agama, rakyat dan negara.

“DUPP juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua jentera Pas yang telah bertungkus-lumus menjalankan kerja-kerja sempena PRK Kimanis ini bagi memenangkan calon BN atas dasar semangat Muafakat Nasional dengan penuh kesungguhan dan kepatuhan kepada arahan kepimpinan parti.

“Kemenangan demi kemenangan yang dicapai menerusi siri-siri PRK yang berlaku dengan berpihak kepada Muafakat Nasional ini hendaknya diraikan dengan lafaz tasbih, pujian kepada ALLAH serta memohon pengampunan kepada-Nya sebagaimana diajari oleh ALLAH kepada Rasulullah SAW dalam peristiwa Pembukaan Kota Mekah,” katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!