Konsep terapi seni, alam semula jadi ubah sikap OKU

Hussamuddin (tiga dari kiri) hadir ke Bizara sempena Program Program Bersama Tokoh dan Mentor Usahawan Berjaya, Datuk Hussamuddin Yaacub.
Hussamuddin (tiga dari kiri) hadir ke Bizara sempena Program Program Bersama Tokoh dan Mentor Usahawan Berjaya, Datuk Hussamuddin Yaacub.
A
A
A

KOTA BHARU - Konsep terapi seni dan alam semula jadi yang diperkenalkan di Pusat Pendidikan Khas Bizara di Kampung Teluk, Pengkalan Chepa, di sini mampu mengubah sikap kanak-kanak orang kurang upaya (OKU).

Konsep yang dicetuskan oleh pengasas pusat berkenaan, Wan Zakaria Wan Abu Bakar itu memberi peluang kepada pelajar terutama autisme dan sindrom down meneroka lebih banyak teknik dalam seni dan menikmati keunikan flora dan fauna.

Menurut Wan Zakaria, melalui konsep itu, seramai 33 pelajar OKU terutama masalah pembelajaran bukan sahaja dapat bekerjasama malah berubah dan tidak mudah agresif serta berkomunikasi dengan baik.

Hussamuddin menandatangani buku lawatan di Pusat Pendidikan Khas Bizara
Hussamuddin menandatangani buku lawatan di Pusat Pendidikan Khas Bizara

"Alhamdulillah, kanak-kanak di sini mempunyai kemahiran teknikal, hubungan kemanusiaan dan komunikasi yang jelas serta berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Program Bersama Tokoh dan Mentor Usahawan Berjaya, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Beliau bersyukur apabila Bizara turut mendapat pujian Penasihat Kumpulan Karangkraf itu serta isteri, Datin Jamilah Yahya dan Guru Perucapan Awam Nusantara, Datuk Roslan Ab Hamid.

"Saya gembira apabila tiga tokoh ini sudi hadir di Bizara dan melihat hasil seni kanak-kanak di sini selain menyantuni mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kanak-kanak autisme dan sindrom down gembira menerima cenderamata.
Kanak-kanak autisme dan sindrom down gembira menerima cenderamata.

Sementara itu, Hussamuddin ketika berucap pada program berkenaan berkata, seni tangan oleh kanak-kanak di Bizara jauh lebih tinggi hasilnya daripada sesetengah insan normal.

Beliau juga mengakui kebolehan kemahiran kanak-kanak yang membuat persembahan juga luar biasa menjangkau keadaan mereka yang kurang upaya.

"Kesungguhan yang dilakukan oleh pengasas dan warga Bizara mampu mendidik kanak-kanak OKU berdikari dan meningkatkan tahap kebolehan mereka," katanya.

Warga Pusat Pendidikan Khas Bizara merakam kenangan bersama Hussamuddin (enam dari kanan).
Warga Pusat Pendidikan Khas Bizara merakam kenangan bersama Hussamuddin (enam dari kanan).

Dalam program itu, Hussamuddin dan tetamu turut memanfaatkan waktu lebih dua jam di Bizara untuk meninjau keadaan kelas, menyantuni kanak-kanak dan melihat hasil seni kanak-kanak berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!