Semak arah kiblat kediaman masing-masing
Peristiwa Istiwa’ A'zam bakal berlaku lagi pada 27 atau 28 Mei dan 15 atau 16 Julai ini
ARAH kiblat merupakan elemen kritikal dalam ibadah solat bagi umat Islam. Ini kerana saat menunaikan kewajipan itu, maka setiap individu wajib menghadap ke arah Kaabah di Makkah, Arab Saudi.
Bagaimanapun, isu kesalahan penentuan arah kiblat sering kali timbul. Tidak kiralah sama ada di rumah, masjid mahupun surau.
Sedangkan, ALLAH SWT secara jelas menetapkan kiblat umat Islam di Baitullah sebagaimana dirakamkan dalam Surah al-Baqarah, ayat 142 hingga 144 dan ayat 149 hingga 150.
Ia sekali gus memberikan signal bahawa begitu signifikannya perkara itu dalam menunaikan ibadah rukun berkenaan dan menunjukkan kepatuhan umat Islam kepada perintah YANG MAHA ESA.
Bahkan menurut para ulama, kiblat menjadi salah satu daripada syarat sah solat melainkan terdapat keadaan-keadaan tertentu sebagaimana diterangkan oleh syarak.
Antara penyebab timbulnya kekeliruan dalam penentuan arah kiblat terutama di rumah sendiri kerana kurangnya pengetahuan mengenainya, penggunaan alat yang tidak tepat dan gangguan persekitaran.
Ramai umat Islam tidak mempunyai ilmu mencukupi tentang cara menentukan arah kiblat menggunakan prinsip-prinsip geografi dan astronomi.
Selain itu, penggunaan kompas atau aplikasi penentu arah kiblat yang tidak dilakukan tentu ukur dengan betul atau terpengaruh oleh gangguan elektromagnetik boleh menyebabkan kesalahan.
Dari satu sudut pula, peranti digital atau aplikasi mungkin mengandungi data lama yang tidak tepat. Ia sekali gus menyebabkan penentuan arah kiblat yang salah.
Sementara itu, gangguan persekitaran melibatkan kedudukan bangunan tinggi, permukaan tidak rata dan gangguan elektromagnetik boleh ‘mengacau’ pembacaan alat penentu arah kiblat.
Fenomena matahari tegak di atas Kaabah
Di Malaysia, arah kiblat ditentukan menerusi panduan azimuth (darjah) iaitu ke arah barat laut dengan nilai arah sekitar 291 darjah hingga 293 darjah andai melibatkan kawasan Semenanjung, manakala di Sabah dan Sarawak pula adalah sekitar 290 darjah hingga 292 darjah.
Barangkali kita kurang sedar bahawa setiap tahun, umat Islam diberikan peluang istimewa untuk menyemak dan memastikan arah kiblat masing-masing dengan tepat.
Ia dilakukan menerusi peristiwa Istiwa’ A’zam. Ketika itulah, kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah. Ia memungkinkan penentuan arah kiblat dengan cara yang mudah dan tepat dilaksanakan melalui bayang-bayang objek tegak.
Ketahuilah bahawa Istiwa’ A’zam merupakan salah satu fenomena astronomi yang dinantikan oleh umat Islam seantero dunia yang berlaku dua kali pada setiap tahun.
Pada tahun 2024, peristiwa Istiwa’ A’zam terjadi pada 27 atau 28 Mei sekitar jam 5.16 petang waktu Malaysia.
Satu lagi pula bakal berlaku sekitar 15 atau 16 Julai pada jam 5.28 petang waktu tempatan.
Sama-samalah kita menggunakan kesempatan yang ada untuk menyemak semula arah kiblat terutama di rumah masing-masing dengan tepat.
Begitu mudah sekali untuk dilakukan kerana ketika matahari berada tepat di atas Kaabah, bayang-bayang semua objek tegak akan menunjukkan arah yang bertentangan dengan kiblat. Waktu itu sebenarnya adalah saat yang tepat untuk mengesahkan arah kiblat di rumah kita.
Cara tepat ukur arah kiblat
Sebagai panduan untuk kita mengukurnya, dikongsikan beberapa langkah mudah boleh dilakukan apabila berlakunya Istiwa’ A’zam nanti:
1. Persiapan awal adalah dengan menentukan tarikh dan waktu peristiwa Istiwa’ A’zam di kawasan masing-masing menggunakan aplikasi atau jadual waktu solat.
2. Pilih lokasi yang lapang dan terbuka yang mana kita dapat mengamati bayang-bayang objek tegak tanpa gangguan. Pastikan di kawasan tersebut, matahari boleh kelihatan dengan mudah dan tidak terlindung.
3. Sediakan satu tiang atau tongkat yang lurus dan tegak 90 darjah sebagai penanda. Jika di rumah, pilih tiang tegak seperti tiang tingkap atau tiang pintu yang mana bayangnya kelihatan untuk dijadikan penanda.
4. Pastikan bayang-bayang tiang atau tongkat tersebut jelas kelihatan di atas permukaan yang rata tadi.
5. Tunggu sehingga jam 5.16 petang pada tarikh 27, 28 Mei atau 5.28 petang jika pada tarikh 15, 16 Julai.
6. Pada waktu yang ditentukan, perhatikan bayang-bayang yang dihasilkan oleh tiang atau tongkat tersebut.
7. Gunakan bayang-bayang itu dan unjurkan garisan bayang-bayang tersebut ke arah matahari bagi menandakan arah kiblat dengan tepat.
Sama-sama kita lakukan apabila tiba saatnya nanti. Oleh yang demikian, dapat kita memastikan ibadah solat yang dikerjakan adalah sah dan diterima oleh ALLAH SWT.
Sesungguhnya, peristiwa Istiwa’ A’zam itu bukan hanya memastikan kesahihan arah kibat, tetapi juga mengingatkan kita tentang kebesaran ciptaan-NYA.
Kesedaran dan pemahaman yang baik dalam fenomena itu akan membantu Muslim menghadap kiblat yang benar dan tepat, di samping meningkatkan kesempurnaan ibadah dikerjakan.
***Dr Othman Zainon ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Geoinformasi, Fakulti Alam Bina & Ukur, Universiti Teknologi Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!