TYT zahir penghargaan kepada PM
GEORGE TOWN - Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyatakan penghargaannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana membantu Pulau Pinang untuk terus membangun melalui kelulusan peruntukan pembangunan yang lebih tinggi untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Fuzi berkata, beberapa peruntukan bagi projek besar untuk negeri ini telah diumumkan Anwar dalam beberapa siri lawatan Anwar sebelum ini, sejak tahun lalu.
Menurutnya, komitmen Anwar dalam menyediakan peruntukan bagi Projek Air Perak Pulau Pinang bagi membolehkan air terawat dapat dibekalkan dari Sungai Perak ke Pulau Pinang menunjukkan keprihatinan Kerajaan Madani dalam menangani krisis bekalan air untuk jangka masa panjang bagi penduduk negeri ini.
"Dalam isu ini, terima kasih kepada Setiausaha Kerajaan Negeri yang telah memulakan langkah awal dengan mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Perak pada 9 November tahun lalu.
"Ia disusuli dengan beberapa siri perbincangan dengan Kementerian Ekonomi sebagai langkah strategik bagi mengatasi masalah bekalan air di Pulau Pinang menjelang 2030," katanya dalam ucapan perasmian di Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Jumaat.
Beliau menambah, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang mana proses tender pra kelayakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah bermula sejak Mac lalu.
"Kerajaan Madani juga akan merealisasikan satu projek mega di Pulau Pinang yang telah lama dinanti-nantikan yang bakal dilaksanakan melalui Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat iaitu pembinaam Projek Transit Aliran Ringan (LRT) dengan anggaran kos antara RM10 bilion ke RM13 bilion.
"Saya menaruh keyakinan pembinaan projek ini yang akan melibatkan Syarikat MRT Corporation dengan kerjasama kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan segera, di samping memberi tumpuan kepada jajaran stesen dan depoh yang lebih strategik.
"Bagaimanapun, pihak berkenaan perlu mengambil kira kepentingan kerajaan negeri tanpa menidakkan atau mengabaikan kehijauan alam sekitar serta peniaga kecil dan sederhana di kawasan yang bakal dirancang," tambah Fuzi.
Fuzi juga berterima kasih kepada Kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar kerana meluluskan peruntukan segera berjumlah RM11 juta bagi pembinaan sebuah Klinik Kesihatan Jenis 2, Bayan Lepas dalam memperkasakan sektor kesihatan di negeri ini.
"Kerajaan negeri telah memohon 93 projek di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Tahun 2025, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bagi Pulau Pinang.
"Kesemua projek ini melibatkan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM17.7 bilion dan peruntukan yang diperlukan bagi tahun 2025 adalah berjumlah RM2.8 bilion.
"Saya memohon agar Kerajaan Persekutuan akan dapat mempertimbangkan kesemua permohonan ini sebaiknya sejajar dengan rekod dan prestasi kecemerlangan yang dikecapi oleh negeri ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!