[VIDEO] Kes simbah asid Faisal Halim: Siasatan merangkumi pelbagai aspek

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis memberi jaminan siasatan berkaitan kes serangan asid membabitkan tonggak bola sepak Selangor FC, Faisal Halim meliputi segala aspek.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dijalankan meliputi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kesan cap jari dan rakaman keterangan beberapa individu sebelum ini.

"Siasatan melibatkan CCTV ini dijalankan dan kita akan tahu suspek ini ada pegang di mana-mana bahagian di lokasi yang akan timbulkan kesan cap jari selain saksi-saksi yang ada di lokasi.

Razarudin
Razarudin

"Sekiranya ada saksi ketika dirakamkan percakapannya sebelum ini mungkin berbeza dengan apa yang dipaparkan menerusi CCTV, itu tak jadi masalah, kita akan panggil semula untuk siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pejabat Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram, Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara di sini pada Jumaat.

Menurutnya, setakat ini seramai 23 individu telah dirakam keterangan berhubung kejadian dan siasatan merangkumi pelbagai aspek.

"Jangan risau dan pertikaikan usaha dijalankan pihak polis, kita tahu apa yang kita buat.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dijalankan di bawah Unit Siasatan Jenayah Terkelas dan ia akan menjadikan siasatan lebih terperinci, setakat ini 23 individu telah direkod keterangan berkaitan kes," katanya.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, motif kejadian masih dalam siasatan pihaknya.

"Motif setakat ini masih belum dikenal pasti sebab siasatan lanjut masih dijalankan, dan kita tak boleh rumuskan secara langsung terutamanya berkaitan sebab berlakunya kejadian.

"Masyarakat diminta dapat membantu pihak polis dalam menyalurkan maklumat berdasarkan fotofit suspek yang telah diedarkan sebelum ini," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, 5 Mei lalu, Faisal alami melecur tahap empat selepas disimbah asid dipercayai oleh dua individu bermotosikal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!