PRK KKB: Warga emas pamer gambar Agong akan dituduh semula
HULU SELANGOR - Seorang lelaki warga emas yang dipenjara sebulan dan denda RM3,000 kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB), akan dituduh semula di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu di sini, pada 30 Mei ini.
Hakim, Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan tertuduh P Ramasamy, 66, tidak dibawa di mahkamah pada Jumaat.
“Mahkamah mengambil maklum bahawa permohonan semakan tertuduh di Mahkamah Tinggi (Shah Alam) bertarikh 23 Mei telah dibenarkan, maka sabitan dan hukuman diketepikan.
“Bagi kes ini (pertuduhan semula) mahkamah menetapkan 30 Mei untuk sebutan bagi kehadiran tertuduh,” kata hakim itu.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan berkata, tertuduh tidak dibawa di mahkamah untuk kes ini maka pihak pendakwaan memohon satu tarikh sebutan baharu bagi pertuduhan dibacakan semula terhadap Ramasamy.
Sementara itu, peguam, Pavitra Loganathan yang mewakili Ramasamy mengesahkan anak guamnya masih berada di Penjara Kajang namun pada Jumaat, keberadaanya tidak dapat dipastikan.
Pada Khamis, Mahkamah Tinggi Shah Alam, menolak pengakuan bersalah lelaki yang berdepan pertuduhan kes berkenaan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Wendy Ooi Su Ghee memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakan difailkan Ramasamy, terhadap pengakuan bersalahnya di Mahkamah Majistret di sini.
Mahkamah menolak pengakuan itu atas alasan, Ramasamy selaku pemohon tidak memahami kesan pengakuan pertuduhan berdasarkan mitigasi yang dikemukakan di Mahkamah Majistret, sekali gus menjadikan pengakuan berkenaan sebagai pengakuan bersyarat.
Pada prosiding 6 Mei lepas, Mahkamah Majistret mengarahkan Ramasamy yang bekerja sendiri itu, untuk menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 4 Mei dan penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Ramasamy didakwa mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH) menggunakan kenderaan pacuan empat roda, dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan permusuhan antara golongan pengundi yang berbeza dalam PRK KKB, untuk mendorong mana-mana pengundi supaya mengundi calon PH.
Perbuatan itu dilakukan di sekitar Taman Bukit Bunga dekat sini pada jam 5.40 petang, 4 Mei lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(A)1 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!