Syarikat pemberi pinjam wang kena lepasi SPRM, polis
KUALA LUMPUR - Syarikat pemberi pinjam wang (PPW) dan pemegang pajak gadai (PPG) perlu melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk layak dipertimbangkan diberi lesen.
Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, setiap syarikat yang berlesen itu wajib menghantar laporan transaksi kepada bahagian kredit komuniti di bawah KPKT.
Katanya, mereka akan dipantau secara berkala bagi memastikan semua syarikat terbabit tidak melanggar undang-undang.
“Saya dengan rendah diri memohon rakyat Malaysia, sekiranya memerlukan pinjaman, kita ada saluran yang sah atau halal.
"Jangan pinjam daripada ah long kerana ia merupakan aktiviti haram yang tidak tertakluk kepada undang-undang. Sebaliknya pinjaman daripada PPW dan PPG ini, hak mereka dijamin oleh akta peminjam wang dan pajak gadai,” katanya di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar majlis Pra-Pelancaran Anugerah Kredit Madani di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Tambah Kor Ming, sebanyak 4,416 pemegang lesen PPW di bawah industri kredit komuniti direkodkan berdaftar dengan KPKT sehingga 30 Apri lalu sehingga kini.
Jelasnya, daripada jumlah itu sebanyak 3,306 pemegang lesen dicatatkan di Semenanjung manakala baki 1,110 pemegang lesen di Sabah dan Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.
"Kesemua pemegang lesen itu dikawal selia pihak berkuasa perlesenan di negeri masing-masing.
“Bagi tempoh sama, terdapat 881 pemegang lesen Pemegang Pajak Gadai (PPG) di seluruh negara dan kawal selia bagi kesemua pemenang lesen tersebut di bawah KPKT,” katanya.
Menurut Kor Ming, industri kredit komuniti yang dikawal selia KPKT adalah tertakluk di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) dan Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 (Akta 81).
“Industri kredit komuniti ini sebenarnya banyak membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) khususnya syarikat SME sebab kita lihat jumlah pasaran ataupun pinjaman yang diberikan adalah satu jumlah yang agak besar.
“Tahun lepas industri ini catat peningkatan sebanyak RM25 bilion. Daripada jumlah itu, 62 peratus adalah peminjam korporat manakala baki 38 peratus kepada peminjam individu,” jelasnya.
Kor Ming memberitahu, KPKT turut memberi jaminan hak semua peminjam syarikat kredit komuniti melibatkan PPW dan PPG adalah terjamin.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!