Malaysia cadang bina terminal khas jemaah haji, umrah
SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia memberi cadangan kepada Arab Saudi untuk membina terminal khas bagi membantu memudahkan urusan jemaah haji dan umrah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, terminal khas tersebut membantu melancarkan penerbangan dari Jeddah atau tempat lain dari Arab Saudi terutama jika tiba musim haji yang memerlukan lebih banyak penerbangan tambahan.
Menurutnya, fokus utama dalam perbincangan tersebut termasuk kemudahan tambahan kepada jemaah umrah Malaysia.
“Saya bangkitkan semasa perjumpaan bersama dengan Menteri Pengangkutan Arab Saudi iaitu untuk membina terminal khas di Kuala Lumpur bagi menguruskan haji dan umrah.
“Kita juga sedang berbincang dengan pihak kerajaan Arab Saudi untuk menambah penerbangan tambahan semasa musim haji supaya ini dapat memudahkan pergerakan haji dari Kuala Lumpur Malaysia ke Arab Saudi.
“Bagi ibadah haji memang sudah mempunyai kemudahan di Kuala Lumpur tetapi kita bukan hanya mahu fokus untuk haji tetapi umrah juga. Ini akan memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia mengerjakan umrah sepanjang tahun,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Mengulas lanjut, menurut Anthony, dengan pembinaan terminal khas tersebut kerajaan Malaysia berharap pelepasan imigresen Arab Saudi diperluaskan kepada jemaah umrah setiap tahun.
Ujarnya, perkara tersebut akan mampu direalisasikan dengan segera bagi membantu jemaah dari Malaysia.
“Kemudahan ini juga membantu penerbangan yang datang dari Jeddah atau tempat-tempat lain di Arab Saudi di mana pelepasan imigresen Arab Saudi dapat dibuat di Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Tanah Suci.
“Kita berharap perkara ini dapat direalisasikan segera,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!