Reunion Ex-Otai IPD KB kumpul bekas anggota polis
KOTA BHARU - Bukan sekadar perjumpaan namun Reunion Ex-Otai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu meriah dengan perkongsian kenangan yang sebelum ini tidak pernah dikongsi antara mereka.
Pengerusi Kelab Ex-Otai IPD KB, Asistan Komisioner (Bersara) Mohd Noor Mansor berkata, beliau dan rakan-rakan dipertemukan semula sejak tahun 2015 lalu dan menubuhkan kelab tersebut dan merancang untuk mengadakan reunion setiap tahun.
"Pada tahun 2015, kita jumpa rakan-rakan kita zaman 80-an dulu. Memang selepas daripada bersara, kebanyakannya balik ke negeri masing-masing dan berhijrah ikut keluarga.
"Dengan usaha yang dilakukan salah seorang rakan kami iaitu Sarjan Rashid, maka tertubuhlah WhatsApp kumpulan Otai tersebut. Semakin hari semakin ramai yang dapat kami kumpulkan. Jadi kami pun rancang perjumpaan ini.
"Alhamdulillah, banyak cerita-cerita lucu dan pengalaman masing-masing sebagai anggota sebelum ini dikongsi pada majlis tersebut dan memang ia sangat mengujakan kami semua," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Antara bekas kakitangan awam yang hadir ialah Hamidah Hassan Azni Zainal Abidin.
Menurutnya, tahun lalu dua siri mini reunion diadakan iaitu di Kelantan dan kali ini di Melaka dan mereka berjaya mengumpul lebih ramai lagi bekas anggota untuk bersama-sama dalam kelab tersebut.
"Saya sangat terharu dengan kerjasama semua walaupun kebanyakannya sudah bersara dari bertugas. Saya berharap agar perjumpaan sebegini dapat terus diadakan setiap tahun.
"Untuk tahun 2020 kita akan adakan di Johor pula nanti. Insya-ALLAH kita akan kumpulkan lebih ramai lagi nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!