ICJ akan putuskan permohonan gencatan senjata Gaza oleh Afrika Selatan

ICJ akan mengeluarkan keputusan pada Sabtu ini berhubung permintaan Afrika Selatan untuk mengarahkan Israel menghentikan serangan di Gaza. Foto AFP
ICJ akan mengeluarkan keputusan pada Sabtu ini berhubung permintaan Afrika Selatan untuk mengarahkan Israel menghentikan serangan di Gaza. Foto AFP
A
A
A

THE HAGUE - Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), badan kehakiman tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata bahawa ia akan mengeluarkan keputusan pada Sabtu ini berhubung permintaan Afrika Selatan untuk mengarahkan Israel menghentikan serangan di Gaza.

Afrika Selatan mahu mahkamah mengarahkan Israel untuk 'segera' menghentikan semua operasi ketenteraan di Gaza, termasuk di bandar Rafah, yang ia memulakan serangan darat pada 7 Mei, walaupun mendapat tentangan daripada masyarakat antarabangsa, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Afrika Selatan telah meminta mahkamah mendesak Israel untuk segera menarik balik pasukannya dan menghentikan serangan ketenteraan ke atas Rafah, serta segera mengambil semua langkah berkesan untuk memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza.

Ia juga meminta mahkamah untuk mengeluarkan perintah kepada Israel supaya membenarkan pegawai PBB dan organisasi yang menyediakan bantuan kemanusiaan serta wartawan dan penyiasat, memasuki Semenanjung Gaza tanpa sebarang halangan.

Afrika Selatan menambah bahawa Israel setakat ini telah mengabaikan dan melanggar perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah sebelum ini.

Pada Januari, ICJ telah menggesa Israel untuk mengelakkan tindakan yang boleh membawa kepada genosid dan memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Walau bagaimanapun, tindak balas Israel telah dianggap tidak mencukupi oleh pelbagai pemerhati antarabangsa.

Berikutan kejadian itu, Afrika Selatan memohon mahkamah untuk mengambil langkah baharu sebagai tindak balas kepada pengumuman Israel mengenai serangan yang akan dilakukan ke atas Rafah. Namun, mahkamah menolak permintaan itu.

Artikel Berkaitan:

Pada awal Mac, Afrika Selatan memperbaharui rayuannya kepada ICJ untuk langkah-langkah segera.

Pada bulan yang sama, mahkamah telah mengarahkan Israel untuk memastikan penghantaran "bantuan kemanusiaan segera" ke Gaza di tengah-tengah kebuluran yang semakin meningkat di wilayah yang dikepung itu.

Baru-baru ini, beberapa negara, termasuk Libya, Mesir dan Turki, telah menyatakan hasrat mereka untuk secara rasmi menyokong tuntutan mahkamah Afrika Selatan terhadap Israel.

Kes itu menuduh Israel melakukan tindakan pembunuhan beramai-ramai dalam serangan berterusan ke atas Gaza. - Bernama-WAFA

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!