Pas sedia letak calon rampas kerusi tujuh wakil Bersatu

Hashim Jasin
Hashim Jasin
A
A
A

SHAH ALAM - Pas bersedia meletakkan calon bagi enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya berlaku pilihan raya kecil (PRK) melibatkan kerusi rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan kepada kerajaan.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, bagaimanapun sebarang keputusan rasmi bergantung kepada parti.

"Saya serah pada (keputusan rasmi) Pas, kalau diberi peluang bertanding kita sedia bertanding. Saya yakin kalau Pas diberi mandat bertanding, kita sudah bersedia.

“Saya juga yakin dalam suasana muhibah dalam komponen parti-parti PN, kita dapat selesaikan isu calon itu dengan sebaik-baiknya,” katanya seperti dilaporkan portal rasmi parti itu pada Jumaat.

Sebelum itu, enam Ahli Parlimen Bersatu, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari menyatakan sokongan kepada Anwar.

Susulan itu, Bersatu memberi tempoh 14 hari bermula Jumaat lalu kepada semua wakil rakyat mereka untuk menjawab surat arahan bertulis yang diedarkan.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan keahlian dalam Bersatu terhenti dengan serta merta menurut Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu.

Sebelum ini, media melaporkan Perikatan Nasional (PN) yakin PRK bagi enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN perlu diadakan berdasarkan Akta Anti Lompat Parti 2022, jika semua yang terlibat kekal dengan pendirian masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu juga, Hashim menambah, Pas juga meletakkan keyakinan sama, namun jentera parti perlu dikuatkan.

“Pilihan raya ini sudah menjadi adat, ada yang kalah dan ada yang menang. Kita juga sudah bersedia dengan kekuatan jentera jika berlaku PRK tersebut,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!