Lebih 100 orang dikhuatiri maut, tanah runtuh di Papua New Guinea

Lebih 100 orang dikhuatiri terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Papua New Guinea. Foto AFP
Lebih 100 orang dikhuatiri terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Papua New Guinea. Foto AFP
A
A
A

SYDNEY - Lebih 100 orang dikhuatiri terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Papua New Guinea, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Tanah runtuh itu dilaporkan melanda Kampung Kaokalam di Wilayah Enga, kira-kira 600 kilometer ke barat laut ibu negara Port Moresby pada awal pagi Jumaat, lapor stesen penyiaran awam Australia, ABC.

Pihak berkuasa masih belum mengesahkan jumlah korban. Tanah runtuh itu juga telah menghalang jalan ke bandar Porgera, iaitu terletaknya lombong emas besar.

"Tanah runtuh telah menimbus rumah dan kebun, menyebabkan sejumlah orang terperangkap di bawah runtuhan. Jumlah penuh mangsa belum dapat dipastikan," menurut laman media tempatan JB143 di Facebook.

Ketua pembangkang di Senat Australia, Simon Birmingham berjanji akan memberikan sokongan dua pihak untuk Canberra menyediakan bantuan.

"Satu kejadian tragis di negara jiran dan sahabat kita yang dekat, Papua New Guinea. Gambar dan laporan awal sangat mengejutkan dan serius," catatnya di platform X.

Papua New Guinea, dengan populasi hampir 10 juta orang, terletak di utara Australia.

Walaupun kaya dengan mineral, kayu, minyak dan gas, sejarah kolonialisme, ketidakstabilan politik dan pengurusan sumber yang lemah telah menyebabkan rakyatnya hidup dalam kemiskinan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!