Khayla selamat jalani pembedahan hati, semakin sihat

Tahap kesihatan Nur Khayla yang kini berusia setahun sembilan bulan semakin baik.
Tahap kesihatan Nur Khayla yang kini berusia setahun sembilan bulan semakin baik.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang kanak-kanak yang sebelum ini disahkan menghidap Biliary Atresia (BA) atau kegagalan fungsi hati selamat menjalani pemindahan hati di Hospital Renji, China, April lalu selepas dana RM250,000 berjaya dikumpulkan.

Malah, tahap kesihatan Nur Khayla Azzahra Mohamed Khairul Idhham yang kini berusia setahun sembilan bulan semakin baik, sebaik kembali ke negara ini pada 10 Mei lepas.

Ibunya, Noreen Ismail, 35, berkata, mereka bertolak ke negara berkenaan pada 19 April bagi menjalani pemindahan sebahagian hatinya kepada anak bongsunya itu pada 26 April lalu.

Khayla dan Noreen bersama jururawat di Hospital Renji,China.
Khayla dan Noreen bersama jururawat di Hospital Renji,China.

"Kami berada di sana selama 21 hari yang mana pembedahan mengambil masa antara empat hingga enam jam. Khayla kemudiannya dimasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dan dipantau selama lima hari. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, perkembangan kesihatan Khayla juga positif.

"Bagaimanapun, selepas kembali ke tanah air, Khayla dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selama tujuh hari kerana demam selain bacaan hatinya yang sedikit tinggi daripada biasa," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Ujarnya, ketika ini tahap kesihatan Khayla semakin baik, tiada demam malah dilihat aktif seperti biasa, selera makannya juga bertambah sebelum pembedahan dilakukan.

"Ada beberapa jenis ubat yang Khayla perlu makan sepanjang hayatnya, tetapi tidak mengapa, sudah sampai ke tahap ini juga kami bersyukur.

Artikel Berkaitan:

Gambar kenangan Khayla,Noreen bersama pegawai perubatan di Hospital Renji,China.
Gambar kenangan Khayla,Noreen bersama pegawai perubatan di Hospital Renji,China.

"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu kami mencukupkan dana sebelum ini, sama ada secara langsung ataupun tidak. Tidak dapat kami gambarkan dengan kata-kata,kami berharap agar kesihatan Khayla baik sehingga dewasa tanpa memerlukan pemindahan hati lagi," katanya.

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, sebuah keluarga memerlukan dana RM250,000 bagi melakukan pemindahan hati di Hospital Renji, China susulan anak bongsunya menghidap kegagalan fungsi hati selepas lima hari dilahirkan.

Kanak-kanak itu, Nur Khayla pernah melakukan Kasai Procedure sebagai kaedah pertama iaitu pembedahan membuang duktus hempedu yang rosak dan penyambungan bahagian usus terus ke hati supaya hempedu dapat mengalir dari hati terus ke usus.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!