Jurujual dijel setahun, sebat tipu urusan beli Mercedes Benz
KUALA LUMPUR - Seorang jurujual kereta dipenjara setahun dan dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu dalam urusan pembelian kereta, tahun lepas.
Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu terhadap Ng Wai Hong, 47, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 23 Februari lepas.
Wai Hong didakwa menipu Lim Chi Kiat, 38, menggunakan dokumen palsu (letter of undertaking) dalam urusan jual beli kereta jenis Mercedes Benz berjumlah RM155,000 yang mana mangsa tidak akan menyerahkan kereta itu sekiranya tidak diperdayakan tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Ampang Hilir, Taman U Thant di sini pada 27 November 2023 dan dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Haniff Ahijman memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh namun Wai Hong yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan menanggung keluarga.
Di mahkamah sama, bekas pemandu lori Muhammad Fahrul Ismail, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang tunai RM5,860 milik sebuah syarikat pemprosesan makanan beku, lima tahun lepas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat berkenaan di Taman Spring Crest, Sentul pada 27 Jun 2019 mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shamril Afzan Mohamed Hasim.
Terdahulu, Raihanah tidak menawarkan jaminan manakala Mohd Shamril memohon jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga dan pendapatannya tidak tetap.
Azrul membenarkan Muhammad Fahrul diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Jun ini untuk sebutan kes. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!