Penternak mengeluh, permintaan lembu korban di NS perlahan
NILAI - Permintaan lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha di Negeri Sembilan sedikit perlahan berbanding tahun lalu.
Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, terdapat beberapa penternak yang mengeluh dan bimbang hasil ternakan mereka yang sudah cukup matang tidak terjual.
"Kita dapat mengesan beberapa penternak domestik dan kecil-kecilan dengan kapasiti 100 hingga 150 ekor yang bimbang tak dapat memasarkan produk mereka memandangkan hari raya korban tidak lama lagi.
"Permintaan itu ada, tapi perlahan berbanding tahun lepas dan saya harapkan sekitar dua hingga tiga minggu lagi sebelum waktu korban, permintaan itu akan ada lonjakan," katanya ditemui pemberita pada program Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Fest 2024@Negeri Sembilan di sini pada Jumaat.
Program berkenaan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. Hadir sama, Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri.
Menurutnya, harga pasaran yang agak tinggi sekitar RM5,000 sehingga RM6,000 seekor kemungkinan menjadi faktor permintaan itu berkurang.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan FAMA untuk mengambil pendekatan bersesuaian bagi membantu memasarkan hasil ternakan penternak yang terlibat supaya mereka tidak mengalami kerugian.
"Jadi saya akan teliti satu persatu bagaimana kerajaan negeri dapat membantu melalui FAMA.
"Ada juga yang jual RM6,000 dan melebihi pada harga berkenaan. Maka itu tak mendapat permintaan dalam kalangan orang ramai dan saya harapkan penternak dapat jual pada harga yang berpatutan," katanya
Dalam perkembangan lain, Aminuddin meminta FAMA supaya membuat persediaan lebih awal bagi menghadapi musim tengkujuh dengan memastikan stok bekalan makanan terutama hidupan laut mencukupi.
Ini kerana katanya, akan ada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga berikutan nelayan tidak turun ke laut.
Sementara itu, Abdul Rashid berkata, Negeri Sembilan merupakan lokasi ketiga penganjuran FAMA Fest tahun ini selepas di Perak dan Sarawak.
Ujarnya, sebanyak lapan lokasi disasarkan dengan keseluruhan nilai jualan RM7.3 juta.
"FAMA Fest Negeri Sembilan menyasarkan nilai jualan sebanyak RM250,000 dan berjaya menarik penyertaan 40 usahawan dengan sasaran sekitar 10,000 pengunjung sepanjang empat hari ia berlangsung," katanya
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!