[VIDEO] Nor Zamri suka tolong orang, kehilangan besar buat Pas
NIBONG TEBAL - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff disifatkan sebagai seorang wakil rakyat yang rajin dan suka menolong orang.
Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, Allahyarham juga disenangi dalam kalangan ahli Pas kerana keperibadiannya yang lemah lembut dan senang bekerjasama.
Menurutnya, kematian Nor Zamri adalah satu kehilangan besar bukan sahaja bagi Pas Pulau Pinang malah Pas Pusat.
"Arwah seorang yang suka menolong orang, ringan tulang dan seorang yang suka membuat kebajikan.
"Di mana ada kejadian banjir, arwah mesti akan menyertai misi menyelamat kerana dia memang suka tolong orang," katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Jamek Sungai Acheh dekat sini pada Jumaat.
Sementara itu, ADUN Penaga, Mohd Yusni Mat Piah berkata, Allahyarham Nor Zamri merupakan seorang rakan yang baik hati dan suka menolong orang.
Menurutnya, sikapnya yang mudah didekati dan suka melawak menyebabkan semua rakan di dalam Pas Pulau Pinang amat terasa dengan kehilangan Allahyarham.
"Arwah sangat senang didekati, suka bersukan, sebab itu arwah baik dengan ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik.
"Arwah baik hati, dia berkawan dengan semua orang walaupun bukan dalam aliran politik yang sama. Satu kehilangan besar buat kami (Pas Pulau Pinang). Kebaikannya akan dikenang sampai bila-bila," katanya.
Nor Zamri dilaporkan meninggal dunia di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya pada Jumaat selepas hampir tiga minggu menerima rawatan.
Allahyarham yang berusia 56 tahun menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.38 petang.
Jenazah Nor Zamri kemudiannya dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Acheh untuk penghormatan terakhir sebelum disembahyangkan di Masjid Sungai Acheh pada jam 6 petang.
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak turut hadir di Masjid Sungai Acheh untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Selain itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek serta beberapa pimpinan negeri antaranya Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Timbalan Speaker Pulau Pinang, Datuk Datuk Azrul Mahathir Aziz, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H'ng Mooi Lye dan Choon Aik juga hadir.
Kon Yeow dan pemimpin negeri lain juga mengiringi jenazah Nor Zamri yang diusung dari rumahnya sejauh kira-kira satu kilometer ke masjid sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Acheh.
Jenazah Nor Zamri selamat dikebumikan pada jam 6.30 petang yang dihadiri kira-kira 1,000 orang.
Sebelum ini, Nor Zamri dimasukkan ke Wad ICU HSJ dan dilaporkan diberikan ubat tidur untuk membolehkannya berehat selain mengurangkan rasa sakit.
Allahyarham dimasukkan ke hospital kerana komplikasi di bahagian perut, bagaimanapun selepas beberapa hari menerima rawatan, beliau dilaporkan stabil dan menunjukkan perkembangan positif.
Nor Zamri dari Pas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri lalu menentang calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose menang dengan majoriti 1,563 dengan mendapat undian 15,433.
Allahyarham sebelum itu bertanding di atas tiket Pas untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 namun kalah dengan wakil daripada PKR, Zulkifli Ibrahim.
Nor Zamri menyertai Pas pada lewat 1990-an yang mana sebelum itu, Allahyarham bekerja di sebuah kilang sebagai kawalan kualiti sebelum menceburi bidang perniagaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!