Portal agropelancongan pertama di Malaysia dilancar
IPOH - Kerajaan negeri Perak melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) melancarkan portal berkaitan agropelancongan pertama di Malaysia iaitu ecodoor.my
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, portal tersebut disediakan sebagai langkah proaktif memperkenalkan potensi dan daya tarikan agropelancongan di negara ini khususnya di Perak.
Menurutnya, laman tersebut menghimpunkan kira-kira 200 pengusaha agropelancongan untuk mempromosikan destinasi agropelancongan yang unik di Perak serta menyediakan pakej-pakej yang menarik.
"Portal agropelancongan ini merupakan langkah penting dalam mempromosikan keindahan dan keunikan negeri Perak kepada dunia sambil mengekalkan dan menyokong pembangunan lestari industri pertanian tempatan.
"Menerusi pelancaran portal ini, kerajaan negeri berharap dapat meningkatkan kesedaran pelancong dalam dan luar negeri terhadap potensi agropelancongan di Perak, pada masa sama mencapai pertumbuhan yang signifikan dalam industri ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Tourism Perak di sini, pada Jumaat.
Hadir sama pada sidang akhbar tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Datuk Yahanis Yahya.
Sementara itu, Yahanis berkata, portal berkenaan menyediakan platform bagi pengusaha agropelancongan mempromosi produk secara dalam talian, yang bukan sahaja menarik pelancong tempatan tetapi pelancong luar negara.
Menurutnya, inisiatif Perak SADC itu juga sebagai membantu Tourism Perak sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk mengetengahkan industri agropelancongan sebagai salah satu produk pelancongan utama.
"Kita menyasarkan 50,000 pakej agropelancongan terjual sehingga hujung tahun ini, berikutan sambutan menggalakkan semasa berlangsung Karnival Agropelancongan Perak 2024 di Resort Tasik Raban baru-baru ini.
"Kami mengalu-alukan penyertaan dan sokongan daripada semua pihak dalam usaha mewujudkan destinasi agropelancongan yang berjaya di Perak, selaras dengan Tahun Melawat Perak 2024,” katanya.
Yahanis berkata, pihaknya turut berhasrat menjadikan portal tersebut sebagai laman agropelancongan yang menjadi rujukan utama di negara ini seperti beberapa portal penginapan popular serta menyasarkan penyertaan pengusaha di seluruh negara.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!