Pengiktirafan Palestin sebagai negara anggota seharusnya daripada aspirasi rakyat

Sumber: Palestine Centre of Excellence - PACE
Sumber: Palestine Centre of Excellence - PACE
A
A
A

SHAH ALAM - Pengiktirafan Palestin sebagai negara anggota seharusnya daripada aspirasi rakyatnya untuk mencapai kemerdekaan dan kebebasan termasuk pemilihan pemimpin secara demokratik tanpa campur tangan kuasa luar.

Ketua Pegawai Penyelidik Palestine Centre of Excellence (PACE), Khalid Jimat berkata, pengiktirafan negara itu tidak boleh diikat dengan penerimaan Presiden Palestinian Liberation Organization (PLO), Mahmud Abbas dan Fatah sebagai pemimpin kerana mereka sudah lama hilang legitimasi.

"Penyertaan negara-negara utama Kesatuan Eropah (EU) seperti Jerman dan Perancis penting sekiranya pihak tersebut benar-benar ingin memainkan peranan lebih besar dalam usaha damai di Palestin.

"Tidak kurang pentingnya juga EU perlu lebih bersedia untuk meraikan pihak yang menjadi pilihan rakyat Palestin untuk menjadi pemimpin mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada 28 Mei ini, Ireland dan Norway akan mengumumkan bahawa mereka mengiktiraf negara Palestin secara rasmi dalam satu majlis oleh Perdana Menteri negara masing-masing di Madrid, Dublin dan Oslo.

Pengumuman berkenaan dilihat sebagai satu lagi usaha pihak antarabangsa untuk mengenakan tekanan kepada Israel supaya menghentikan operasi ketenteraannya ke atas Gaza yang kini berdepan dakwaan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Ia juga susulan daripada undian di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) baru-baru ini untuk menimbang permohonan Palestin sebagai negara anggota.

Dalam undian pada 10 Mei itu, 143 negara menyokong, 25 berkecuali dan sembilan menentang iaitu Israel, Amerika Syarikat (AS), Argentina, Republik Czech, Hungary, Micronesia, Nauru, Palau dan Papua New Guinea.

Artikel Berkaitan:

Menurut Khalid, pengiktirafan tersebut menambah bilangan negara anggota EU yang mengiktiraf Palestin daripada sembilan kepada 11 buah negara.

"Negara EU mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara sebelum ini ialah Malta, Cyprus, Republik Czech, Slovakia, Hungary, Romania, Bulgaria, Poland dan Sweden. PLO sudah pasti merayakan kejayaan diplomatik ini.

"Beliau telah berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan kepada negara Palestin sejak November 1988 selepas Yasser Arafat mengisytiharkan penubuhan negara Palestin berdasarkan formula penyelesaian dua negara. Hamas menyifatkan pengumuman ini sebagai langkah penting," katanya.

Jelasnya, kumpulan terbabit walau bagaimanapun menerima penyelesaian dua negara hanya sebagai penyelesaian sementara kerana secara prinsipnya rakyat Palestin berhak ke atas seluruh tanahnya yang dijajah Zionis baik selepas Nakbah 1948 mahupun Naksah 1967.

Ujarnya, bagi yang kritikal terhadap idea penyelesaian dua negara, pengumuman berkenaan dilihat hadir terlalu lewat.

"Negara-negara ini seharusnya mengambil langkah tersebut lebih awal lagi selepas Perjanjian Oslo 1993 yang ditandatangani antara Israel dan PLO telah terbukti gagal menatijahkan perdamaian mahupun sebuah negara Palestin. Mengapa perlu tunggu sehingga 30 tahun untuk berbuat demikian?

"Lebih memualkan, setiap kali berlaku ketegangan di Palestin, AS dan EU akan meratib mantra ‘penyelesaian dua negara’ tanpa sebarang tindakan tuntas untuk menjadikan ia satu realiti.

"Akibatnya, penyelesaian dua negara kini dilihat sekadar retorik yang digunakan oleh negara-negara ini untuk mengatakan mereka sedang berbuat sesuatu walhal masing-masing sekadar berpeluk tubuh melihat rakyat Palestin dibunuh, diusir dan diperlakukan seperti binatang oleh Zionis," katanya.

Tambah beliau, bagi yang masih optimis dengan idea penyelesaian dua negara, pengumuman itu sudah pasti dilihat sebagai satu perkembangan yang penting lagi bersejarah lebih-lebih lagi apabila ia disambut dengan penuh histerik oleh Zionis.

Kata Khalid, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyelar tindakan ini sebagai 'hadiah kepada pengganas'. Menteri Luar Zionis, Israel Katz dengan angkuh mengatakan 'kami tidak akan membiarkan pengumuman ini berlalu begitu sahaja'.

"Menteri Keselamatan Dalam Negeri Zionis, Itamar Ben-Gvir menceroboh masuk ke dalam Masjid al-Aqsa dan mengecam langkah itu daripada pekarangan masjid sekali gus mendedahkan kebimbangan utama beliau terhadap pengumuman tersebut.

"Tidak cukup dengan itu, Israel segera memanggil pulang dutanya. Kementerian Luar Zionis kemudian memanggil duta Sepanyol, Ireland dan Norway untuk mengadap dan menjelaskan keputusan mereka. Dikhabarkan duta-duta ini telah dipaksa mendengar syarahan panjang lebar tentang kesan buruk keputusan mereka.

"Mereka juga ditontonkan dengan video operasi Hamas pada 7 Oktober lalu untuk mengingatkan kembali kepada ancaman kumpulan tersebut. Pun begitu, merit pengumuman ini tidak seharusnya dinilai daripada histeria Zionis semata-mata. Ia perlu dinilai dengan lebih objektif," katanya.

Menurutnya lagi, secara asasnya pengumuman terbabit wajar dipuji kerana ketika media barat masih memainkan naratif Zionis dengan melemparkan tuduhan anti-semitik, tiga negara itu berani tampil menongkah arus.

Tambahan pula, ujarnya, dikhabarkan ada beberapa lagi negara sebenarnya sudah bersedia untuk menyertai mereka tetapi menarik diri pada saat-saat akhir.

"Pengumuman ini merupakan tamparan hebat kepada Zionis dan sekutu kuatnya AS. Ia mencabar doktrin yang digunakan oleh Zionis dan AS agar pengiktirafan kepada negara Palestin hanya dibenarkan berlaku selepas Israel dan PLO berjaya merundingkan bentuk akhir negara Palestin yang akan ditubuhkan.

"Selagi rundingan belum dimuktamadkan, pengiktirafan adalah langkah pramatang. Inilah antara punca mengapa sehingga kini negara Palestin masih tidak berjaya dimuktamadkan. Doktrin ini telah ditunggang oleh Israel untuk sengaja melengah-lengahkan penubuhan negara Palestin.

"Rundingan demi rundingan sengaja disabotaj dengan pelbagai alasan. Dalam waktu yang sama mereka menguatkan cengkaman ke atas wilayah yang sepatutnya menjadi milik negara Palestin melalui pembinaan penempatan-penempatan haram," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!