Zii Jia tak cedera, boleh beraksi pada separuh akhir

Aksi pemain Lelaki negara Lee Zii Jia ketika menentang pemain Denmark Anders Antonsen pada pusingan suku akhir perlawanan sempena Kejohanan Badminton Masters Malaysia Axiata Arena, Bukit Jalil pada Jumaat. Foto Bernama
Aksi pemain Lelaki negara Lee Zii Jia ketika menentang pemain Denmark Anders Antonsen pada pusingan suku akhir perlawanan sempena Kejohanan Badminton Masters Malaysia Axiata Arena, Bukit Jalil pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

TEKA-TEKI kondisi pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang meninggalkan gelanggang Malaysia Master 2024 dalam keadaan terhincut-hincut akhirnya terjawab.

Pemain nombor 10 dunia itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan dijangka tiada masalah buatnya beraksi dalam saingan separuh akhir pada Sabtu.

Perkembangan tersebut dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli sebentar tadi.

Beliau berkata, Zii Jia mengalami kekejangan otot dan ia adalah perkara biasa buat mana-mana atlet selepas mengharungi aksi kompetitif.

"Fisioterapi Zii Jia, R Rayvadee yang juga bekas fisioterapi ISN membawanya melakukan mandian ais. Dia hanya mengalami keletihan di bahagian otot dan tiada kecederaan.

"Keletihan otot adalah perkara biasa kerana Zii Jia mengharungi perlawanan yang memenatkan selama satu jam 23 minit (suku akhir)," katanya.

Zii Jia menewaskan pemain Denmark, Anders Antonsen dalam saingan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil petang tadi.

Juara Terbuka Thailand itu menumpaskan Antonsen 21-15, 19-21, 21-11 dalam masa 83 minit untuk mara ke kelompok empat terbaik.

Artikel Berkaitan:

Kakak merangkap pengurus Zii Jia, Lee Zii Yii terdahulu memberitahu adiknya mengalami kekejangan otot seluruh badan selepas tamat perlawanan menentang Antonsen.

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah, itu kemudian dibawa ke ISN untuk menjalani sesi pemulihan dengan rendaman ais.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!