Perak FC catat kemenangan sulung tewaskan KDA FC di Alor Setar
KEMENANGAN sulung yang diburu oleh Perak FC akhirnya muncul apabila berjaya menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada saingan ketiga Liga Super 2024-2025 di Stadium Darul Aman pada Jumaat.
Lee Tae-Min muncul wira kelab tersebut apabila menyumbang kedua-dua gol selepas mereka tewas dua perlawanan berturut-turut pada aksi permbukaan liga super musim ini.
Biarpun perlawanan didominasi oleh Sang Kenari di laman sendiri, namun pelawat bijak memanfaatkan peluang tersebut kepada bentuk jaringan berbanding tuan rumah.
Gol pertama The Bos Gaurus muncul pada minit ke-18 selepas Tae-Min bijak menyempurnakan hantaran bagi meletakkan pelawat di hadapan 0-1 pada aksi derbi utara tersebut.
KDA FC cuba memburu gol penyamaan namun keampuhan penjaga gol pelawat, Ramadan dan barisan pertahanannya berjaya menafikan usaha tersebut sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, skuad Nafuzi Zain yang turun dengan misi memburu kemenangan pertama di laman sendiri musim ini dilihat terus buntu untuk menterjemahkan beberapa peluang kepada bentuk jaringan.
Peluang terbaik KDA FC muncul pada minit ke-58, menerusi Sukhrob Nurulloev yang hampir menyamakan kedudukan menerusi sepakan sudut dari luar kotak penalti, namun percubaannya terkena tiang gol.
Sang Kenari sebaliknya sekali lagi terus dikejutkan oleh gol kedua Perak FC juga menerusi Tae-Min hasil hantaran satu dua menarik pemain pelawat bagi meletakkan mereka berada di hadapan 0-2 pada minit ke-76.
Tuan rumah terus menyusun kembali permainan dan meningkatkan tempo serangan namun keputusan tersebut kekal sehingga ke wisel penamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!