Naskhah rompakan yang menghiburkan
SATU Keluarga, Satu Peluang, Satu Rompakan Terakhir.
Begitulah moto untuk filem terbaharu terbitan Astro Shaw dengan kerjasama ZAK Capital dan TGV Pictures, The Experts yang sudah pun memulakan tayangannya pada 23 Mei lalu.
Naratif dan skrip hasil idea pencipta francais box office, Polis Evo iaitu Joel Soh, manakala pengarah Polis Evo 2, Andre Chiew bersama Nazim Shah (pengarah filem J2: J Retribusi), bertindak selaku pengarah naskhah ini.
Filem yang menyaksikan gandingan pertama kali Datuk Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Remy Ishak dan Ray Dapdap sebagai lima adik-beradik yang mempunyai kemahiran dalam misi mereka.
The Expert mengisahkan lima beradik iaitu Farid (Aaron) sebagai ketua ataupun maestro, Lan (Ray) merupakan pakar godam; Amer (Remy) pakar penyamaran; Emma (Mimi) pakar manipulasi dan Keyrol (Syafiq) perisik dan pakar pembuka peti besi telah menggemparkan negara dengan rompakan jongkong emas.
Selepas rompakan itu, mereka memulakan hidup baharu sehinggalah semuanya berubah sebaik Keyrol dibebaskan daripada penjara 10 tahun kemudian.
Terperangkap dalam ugutan besar, lima beradik ini terpaksa kembali ke dunia yang telah lama ditinggalkan dan merancang rompakan paling terbesar.
Perjalanan filem ini pada pandangan penulis bersesuaian dengan temanya. Meskipun ada beberapa ruang yang masih boleh diperbaiki atau diperkemaskan lagi, The Experts masih sebuah karya tempatan yang membanggakan.
Plot naskhah ini tidak sukar untuk difahami dan walaupun plot twistnya sudah boleh dijangka tetapi masih ada kejutan menarik perhatian penulis.
Apabila bercakap mengenai naskhah rompakan, penulis percaya ramai yang mahu mengetahui setiap perancangan dan cara mereka melakukan rompakan itu. Ya, semuanya disusun dengan begitu baik dan menarik.
Pada pandangan penulis, selain jalan cerita dan sinematografi yang menarik, tarikan utama untuk The Experts adalah lakonan mantap barisan pelakonnya.
Aaron kali ini tampil lebih serius tetapi ada sisi komedinya sendiri; Remy pula tampil berbeza dengan tarian tango yang mengagumkan; Syafiq – satu tepukan untuk lakonannya yang semakin mantap; Mimi, tetap dengan pesona yang bersahaja dan Ray yang tidak pernah mengecewakan.
Walaupun tidak banyak babak yang menyaksikan lima pelakon ini dalam satu skrin tetapi setiap keletah mereka dibahagikan sama adil.
Malah, dalam babak serius pun, ada sahaja ragam dan tingkah laku lima beradik ini yang akan membuatkan kita teringat pada adik-beradik sendiri.
Bagi penulis, The Experts naskhah yang menarik untuk ditonton tetapi jika ditanya perbandingan dengan Sheriff: Narko Integriti, penulis berasakan tidak adil untuk membuat perbandingan kerana kedua-dua filem tersebut tampil dengan genre berbeza.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!