Pemandu Grab ditahan positif dadah
PORT DICKSON - Seorang pemandu Grab ditahan dipercayai positif dadah selepas melanggar empat kenderaan di jalan Port Dickson dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, suspek, PS Jason,26, dari Taman Desa Rusa, melanggar tiga kereta dan sebuah motosikal di dua lokasi berasingan selepas bertengkar dengan rakan-rakannya di Batu 1.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintandan Aidi Sham Mohammed berkata, sebelum kejadian suspek telah berjumpa dengan rakannya pada jam 4 petang, dan beredar dua jam berikutnya selepas berlaku bertengkaran.
"Suspek kemudiannya memandu kereta secara meluru, lalu melanggar sebuah kereta Perodua Kancil dan motosikal di Taman Muhibbah.
"Kemudian suspek berhenti dan turun, terus masuk ke dalam sebuah kedai runcit, lalu menyelerakkan semua barang yang ada dalam kedai itu.
"Suspek kemudiannya melarikan diri dan setibanya di lampu isyarat Shell Gate telah melanggar dua buah kereta lagi, dan terus memandu laju menuju ke arah lampu isyarat Kampung Paya sebelum di tahan oleh orang awam,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, sebuah MPV polis dari Port Dickson (NS 150) diarahkan menghala ke lokasi dan seterusnya membuat tangkapan pada Suspek dan dibawa ke Balai Trafik Port Dickson.
Suspek kemudiannya di bawa ke Pejabat Narkotik Port Dickson bagi menjalani ujian saringan air kencing dan hasil ujian urin mendapati dia positif dadah, Methapitamine.
Siasatan akan dilakukan mengikut Sek 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kes kemalangan jalan raya, Sek 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Sek 427 Kanun Keseksaan.
Suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!