Buaya tembaga sesat masuk parit taman awam Teluk Likas
KOTA KINABALU - Seekor buaya tembaga dipercayai tersesat masuk ke dalam parit kawasan taman awam Teluk Likas Jalan Tun Fuad, di sini berjaya ditangkap sepasukan anggota bomba pada malam Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, seramai lapan anggota dikejar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan itu jam 12.21 tengah malam oleh orang awam yang menyedari kehadiran reptilia dianggarkan sepanjang 2.1 meter tersebut.
"Sebaik tiba, terdapat seekor buaya dianggarkan seberat 180 kilogram berada dalam parit kawasan tersebut.
"Operasi menangkap buaya dilakukan menggunakan penjerut dan mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan haiwan tersebut dari parit berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Katanya lagi, buaya itu kemudian dibawa ke balai bomba dan akan diserahkan ke Jabatan Hidupan Liar (JHL) untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi ditamatkan jam 1 pagi selepas kawasan tersebut dipastikan selamat," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!