Steinbruckner puas hati prestasi pemain tundukkan KDN FC

Park Jaehong (kanan) ketika sidang akhbar.
Park Jaehong (kanan) ketika sidang akhbar.
A
A
A

KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan pemainnya apabila berjaya menundukkan Kelantan Darul Naim (KDN) FC, 3-0 pada perlawanan Liga Super 2024/2025 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat.

Beliau berkata, semua taktik yang dirancang membuahkan hasil selain semangat bersungguh-sungguh dipamerkan setiap pemain sepanjang perlawanan tersebut.

"Saya berpuas hati dengan persembahan pada malam ini (Jumaat). Ia lebih baik. Saya fikirkan (prestasi) kita lebih bagus berbanding dua perlawanan sebelum ini.

"Ia bukan sahaja tiga gol atau empat dan lima peluang terbaik yang kami cipta, tetapi bagaimana kami membina, bagaimana kami bermain dan menguasai permainan.

"Kami kelihatan lebih baik. Saya yakin kami perlukan masa disebabkan masih lagi ada pemain baharu dalam pasukan," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan menentang KDN FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini pada malam Jumaat.

Mengulas lanjut, Steinbruckner menyatakan empat tonggak utama iaitu Ivan Mamut, Azam Azmi, Matthew Steen voordeen serta penjaga gol, Suhaimi Hussin masih berehat akibat kecederaan.

Steinbruckner ketika sidang akhbar.
Steinbruckner ketika sidang akhbar.

"Empat tonggak utama itu diharapkan dapat memperkuatkan pasukan pada perlawanan akan datang," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Steinbruckner turut memuji prestasi dipamerkan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid sepanjang perlawanan tersebut.

"Safawi dan Akhyar bermain dengan baik pada malam ini. Saya yakin mereka akan menjadi lebih baik untuk perlawanan akan datang," ujarnya.

Sementara itu, pengendali KDN FC, Park Jaehong akui prestasi pasukannya tidak berapa baik selepas gol pertama TFC menerusi jaringan penalti pada separuh masa pertama.

"Apabila kita bermula dalam perlawanan hari ini, ia berjalan dengan baik namun ia menjadi tidak ok setelah penalti tersebut.

"Kami berlatih dengan baik setiap hari. Perlawanan ini sangat penting dan kami lawan pasukan yang kuat (TFC). Kami usaha untuk dapatkan tiga mata dalam setiap perlawanan namun malangnya tidak dapat.

"Seperti saya sebutkan sebelum ini, kita ada masalah di bahagian tengah untuk lakukan serangan dan bagaimana mengawal pemain lawan. Jadi perkara itu akan menjadi fokus (baiki) sekarang untuk perlawanan akan datang," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!